Ada ijazah tapi percaya temberang pengasas produk

5 hours ago 1

PETALING JAYA – Masyarakat kini lebih mempercayai lambakan produk di pasaran yang kononnya mampu meningkatkan kecantikan dalaman berbanding mendapatkan nasihat doktor.

Menerusi luahan seorang doktor, Rusyainie Ramli di Facebook, bukan sahaja golongan tua malah individu yang berpendidikan tinggi turut terjebak membeli produk sebegini.

Katanya, trend ini membimbangkan kerana kebanyakan pengasas kesihatan dalaman tidak mempunyai latar belakang pendidikan tentang perubatan dan kesihatan untuk menghasilkan produk.

“Berderet lah makcik pakcik yang sebaya atau generasi sebelum saya membeli produk macam tu. Duit berlambak agaknya tak tahu nak dibuat apa, tu yang apa juga dijual, dibalut dengan ayat Islamik sikit, ditambah pula mengutuk doktor, gerenti laku lah.

“Dah 2025 pun masih dok jadi hamba kayakan pengasas dan penjual produk yang entah tak ketahuan tu. Percaya sangat lah, bab kesihatan dalaman yang dimomok tu. Kelakar pun ada. Pakat beli produk akibat takut benda yang sendiri pun tak faham,” katanya.

Tegas Rusyainie yang berpengalaman 20 tahun sebagai doktor bertauliah, semakin dewasa seseorang, sepatutnya semakin bijak membuat pilihan berbanding generasi sebelumnya.

Ujarnya, dari segi kesihatan fizikal, seseorang individu sepatutnya makan makanan berkhasiat dalam jumlah yang sepatutnya, berhenti makan sebelum kenyang.

Kedua, katanya, bersenam atau melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian dan mempunyai status yang baik dari segi mental iaitu mampu membuat keputusan yang rasional dan tepat, berfikir dengan kritikal dan stabil.

“Kemudian ‘spiritual’ iaitu hubungan kita dengan Tuhan dan sosial; hubungan kita dengan keluarga, orang sekeliling dan masyarakat.

“Itu pemahaman saya. Tetapi bila disebut kecantikan dalaman apa maksud spesifik?
Vagina yang ketat? Rahim yang tidak tombong? Payu dara yang montok? Kulit yang putih melepak walaupun azalinya sawo matang?,” katanya.

Rusyainie berkata, iklan kesihatan dalaman sebegini menjadi contoh yang tidak baik kepala golongan muda kerana terang-terangan diceritakan di media sosial.

Jelasnya, ada tatatertibnya jika ingin mengajar golongan muda belia, malah kanak-kanak dan remaja tentang seksualiti dan perkara yang berkaitan dengannya.

“Yang pasti, lakukan secara profesional dan berasaskan sains, bukan gedik geli geleman yang berbaur lucah.

“Buruk benar bila dah berkedut kat leher, beruban di rambut, dalam media sosial, teruja bab intiman suami isteri tak setara dengan usia yang mestinya dah kena matang.

“Kalau ketam pun berjalan senget, buka segala pekung kat dada, macam mana nak mendidik generasi pelapis untuk menjaga maruah dan harga diri?,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |