KOTA BHARU – Segelintir anggota polis di Kelantan dipercayai menjadikan penagih dadah yang ditangkap ketika menjalankan rondaan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) apabila bertindak memeras ugut dengan meminta wang daripada golongan tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, berdasarkan laporan yang diterima, terdapat anggota polis yang tidak bertanggungjawab bertindak sedemikian sebagai balasan agar penagih dadah tidak dibawa ke lokap.
Katanya, siasatan mendapati, anggota polis itu bertindak dengan memeras ugut golongan tersebut ketika mereka menjalankan tugasan di lapangan.
“Ada saya dapat maklumat, anggota polis membuat penagih dadah seperti ATM bergerak. Mereka pegang penagih dadah dan sekiranya mahu lepas dan tidak diheret ke lokap, perlu membayar sejumlah wang.
“Selain penagih dadah, anggota polis yang tidak bertanggungjawab itu juga menyasarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memeras ugut dan meminta wang bagi melepaskan mereka selepas ditahan,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, sehubungan itu, beliau sudah memberi amaran kepada semua 56 ketua balai di negeri ini agar memantau anggota yang bertugas di lapangan bagi mengelakkan kejadian pemerasan melibatkan suspek yang ditangkap.
Katanya, berdasarkan maklumat awam, ada anggota polis yang dibayar sehingga RM1,000 sebagai balasan untuk tidak menangkap dan membawa penagih dadah ke lokap.
“Kebanyakan ibu bapa di Kelantan ini sayang kepada anak-anak. Jadi, mereka rasuah anggota polis itu agar anak-anak yang terlibat dadah tidak dibawa ke lokap.
“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana memberi dan menerima rasuah itu satu kesalahan. Apabila ditangkap dan menjalani hukuman, penagih akan menjalani pemulihan sekali gus dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk mengharungi masa depan,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang bermula semalam sehingga Sabtu terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid
Difahamkan, suspek bertugas sebagai ketua balai polis dipercayai menerima rasuah sebanyak RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6












































