Aaron-Wooi Yik waspada ancaman beregu India

1 day ago 12

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pentas separuh akhir Terbuka Singapura selepas menundukkan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura, sebentar tadi.

Pilihan ketiga kejohanan itu tidak berdepan masalah besar untuk menamatkan cabaran
Wei Chong-Kai Wun menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-17 dalam tempoh 33 minit.

Kemenangan itu sekali gus menebus kekalahan mereka di final Malaysia Masters minggu lalu dan menjadi suntikan moral menjelang aksi separuh akhir menentang gandingan berpengalaman dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty esok.

Pasangan India itu terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas mengejutkan beregu No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dengan kemenangan 21-17, 21-15 di pentas Super 750 tersebut.

Mengulas mengenai pertemuan getir itu, Wooi Yik berkata, mereka perlu berada pada tahap terbaik kerana gandingan India tersebut kini sudah menemui semula rentak selepas pulih daripada kecederaan.

“Mereka mengalami kecederaan sebelum ini dan kami tidak tahu mengenai perlawanan terkini lawan kami. Jadi, rasanya ia situasi yang berbeza berbanding pertembungan Olimpik sebelum ini.

“Rasanya sekarang kami hanya mahu beraksi sebaik mungkin menentang mereka dan lihat apa yang berlaku esok. Kami akan menonton rakaman perlawanan mereka malam ini, untuk lebih faham permainan mereka,” kata Wooi Yik.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah apabila gagal meneruskan kemaraan selepas terpaksa tunduk kepada pasangan pilihan dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.

Beregu wanita negara bermula baik namun gagal mengekalkan momentum terbaik terutama set ketiga sebelum tumpas 21-14, 22-24, 14-21 yang berlangsung selama satu jam 13 minit.

Selepas ini, Pearly-Thinaah akan mengalih tumpuan ke Terbuka Indonesia dan mereka berdua dijadual menentang gandingan Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun minggu depan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |