8 pemecah ombak Pantai Mengabang Telipot disasar siap sebelum tengkujuh

5 hours ago 3

KUALA NERUS – Projek pemulihan pantai Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Batu Rakit di sini yang terhakis teruk setiap kali musim tengkujuh sedang berjalan mengikut jadual ditetapkan iaitu siap sepenuhnya pada Januari 2027.

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli berkata, sebahagian komponen projek pembinaan pemecah ombak terbabit menunjukkan perkembangan baik dan disasar boleh disiapkan sebelum ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) pada Oktober depan.

“Petra telah menyediakan peruntukan RM69 juta bagi mengurangkan hakisan pantai yang sering berlaku (di kawasan ini).

“Saya telah diberi jaminan oleh kontraktor (projek) untuk cuba menyiapkan beberapa komponen iaitu lapan pemecah ombak sebelum musim tengkujuh 2025 ini,” katanya ketika meninjau perkembangan projek pemulihan pantai tersebut di Pantai Mengabang Telipot di sini hari ini.

Projek pemulihan Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Batu Rakit sepanjang dua kilometer menjadi keutamaan kerajaan berikutan hakisan kronik yang telah memusnahkan banyak harta-benda penduduk serta insfrastruktur setiap kali musim tengkujuh.

Ia melibatkan pembinaan 16 pemecah ombak bagi memulihara semula serta mengekalkan garis pantai terbabit yang telah terjejas teruk sebelum ini.

Mad Zaidi berkata, secara perinciannya, status kemajuan fizikal setiap komponen projek pembinaan pemecah ombak tersebut antara 10 hingga 92 peratus.

Dalam perkembangan sama, beliau yang mengetuai Skuad Petra Zon Timur turut meninjau projek-projek lain kendalian Petra dan agensinya di Pantai Timur.

“Antaranya stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1, Kota Bharu, Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |