PERISTIWA kematian seekor anak gajah jantan yang dilanggar oleh sebuah lori kontena di Jalan Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli baru-baru ini bukan sahaja meruntun hati rakyat Malaysia, malah orang ramai terkejut dengan fakta kehamilan gajah selama hampir dua tahun.
Sebenarnya, gajah bukanlah satu-satunya haiwan yang bunting dalam tempoh panjang.
Keadaan ini turut dialami oleh sesetengah spesies haiwan yang tinggal di lautan dan pergunungan tinggi.
Sehubungan itu, pada minggu ini, CitaRasa kongsikan lima haiwan yang bunting paling lama di dunia seperti dilaporkan oleh portal, Jeevoka.
1- Graneledone boreopacifica – 4.5 tahun
SATU spesies sotong laut iaitu graneledone boreopacifica mendahului carta haiwan paling lama kehamilan atau bertelur iaitu 4.5 tahun. Perkara ini mengejutkan kerana ia melebihi jangka hayat sesetengah sotong.
Kebanyakan spesies sotong mengeram telurnya selama beberapa bulan dan tidak makan apa-apa sepanjang tempoh itu.
Begitu juga bagi sotong boreopacifica graneledone betina yang tidak makan selama 4.5 tahun dalam tempoh tersebut.
Para saintis telah membuat hipotesis bahawa laut yang dalam, altitud tinggi serta suhu rendah memerlukan haiwan ini memiliki metabolisme rendah.
Disebabkan itu, perkembangan dan tempoh kehamilan haiwan tersebut sangat perlahan dan panjang.
2- Jerung frilled – 3.5 tahun
JERUNG laut dalam dengan rupa aneh ini menjalani tempoh kehamilan yang panjang iaitu 3.5 tahun. Satu kajian yang memfokus kepada kehamilan ikan ini menunjukkan bahawa si ibu membawa embrio dalam telur sepanjang tempoh bunting.
Semasa peringkat akhir kehamilan, telur menetas dan anak ikan muncul di dalam rahim si ibu. Selepas perkembangan lengkap di dalam
rahim, jerung frilled betina akan melahirkan anak.
3- Salamander alpine hitam – 2 – 3 tahun
HAIWAN amfibia ini tinggal di pergunungan Alps dan biasanya melahirkan dua anak pada satu-satu masa. Tempoh kehamilannya berbeza-beza mengikut ketinggian tempat tinggal dengan anggaran sekitar dua hingga tiga tahun.
Semakin tinggi altitud dan rendah suhu, maka semakin lama tempoh kehamilan. Jangka hayat amfibia ini adalah sekitar 15 hingga 20 tahun.
4. Gajah – 22 bulan
GAJAH membesar dengan perlahan, sekali gus menyebabkan metabolisme dan kadar pereputannya menjadi lebih lambat.
Oleh itu, perkembangan embrio adalah perlahan. Gajah mengambil masa 22 bulan tempoh kehamilan.
Sebagai haiwan liar, gajah tidak boleh melahirkan anak yang tidak berdaya bergerak (seperti bayi yang lahir tidak boleh terus berjalan sehingga berusia setahun).
Sebaliknya, anak gajah perlu terus berjalan dengan cepat bagi membolehkannya hidup di alam liar.
Disebabkan itu, gajah mempunyai tempoh kehamilan panjang supaya anak yang dilahirkan membesar dengan baik untuk hidup selamat di alam liar.
5- Orcas – 17 bulan
MAMALIA ini melahirkan seekor anak pada satu-satu masa. Secara purata, kadar kehamilannya adalah setiap tiga hingga lima tahun.
Orcas menggunakan tempoh selama 17 bulan kehamilan untuk membesarkan anak dalam kandungan dengan baik sebelum dilahirkan dengan berat 160 kilogram dan panjang 243 sentimeter.
Corak yang menjadi ciri ikan orca biasanya berwarna putih pudar atau kuning semasa baru dilahirkan. Kemudian, ia bertukar kepada putih apabila meningkat dewasa.