LANGKAWI – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) berlangsung dengan cemerlang apabila melepasi banyak sasaran ditetapkan termasuk menerima kira-kira 450,000 pengunjung sejak Selasa lalu hingga hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran pengunjung yang tinggi direkodkan meskipun dalam keadaan cuaca tidak menentu.
“Walaupun dalam keadaan hujan pada hari penutup (LIMA’25) seperti hari ini, kita masih lagi nampak orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam dewan pameran selain menyaksikan persembahan aerobatik (pesawat),” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup sempena LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.
Katanya, LIMA kali ini bukan sahaja telah berjalan dengan baik dan penuh kemeriahan tetapi juga melepasi banyak sasaran ditetapkan.
“LIMA’25 terus menjadi platform dan arena perkongsian pelbagai idea, teknologi terbaharu serta kerjasama strategik. Pada tahun ini, sebanyak 860 pempamer telah mengambil bahagian dan angka ini adalah lebih tinggi berbanding LIMA’23,” ujarnya.
Menurutnya, beliau juga difahamkan LIMA kali ini secara kasar menerima sehingga 450,000 pengunjung daripada kesemua kumpulan komersial dan perniagaan, delegasi dalam negara dan antarabangsa serta orang awam.
“Terdapat sebanyak 1,400 pertemuan business-to-business serta 920 business-to-government telah berlangsung sepanjang lima hari ini,” jelasnya.
Katanya, LIMA’25 turut menyaksikan pemeteraian sebanyak 93 dokumen strategik yang terdiri daripada Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LoI), dan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM11 bilion dalam transaksi pertahanan dan komersial.
“Saya sangat berpuas hati dan berbangga untuk menegaskan yang sebahagian besar daripada para pemain industri yang terlibat dalam kontrak perolehan ini adalah syarikat-syarikat tempatan.
“Sudah pastilah semua ini memberi gambaran yang baik terhadap perkembangan dan masa depan industri pertahanan negara yang menjadi harapan dan sandaran kita untuk mengurangkan kebergantungan pertahanan negara terhadap pihak luar,” katanya.
Ujarnya lagi, nilai yang direkodkan itu bukan sahaja menyaksikan peningkatan lebih daripada 17 peratus berbanding LIMA edisi lalu, tetapi juga mencatatkan peningkatan jumlah dokumen strategik yang ditandatangani.
“Jumlah keseluruhan dokumen strategik yang ditandatangani turut meningkat satu kali ganda berbanding LIMA edisi ke-16 yang menyaksikan 43 dokumen telah ditandatangani.
“Pada masa sama, terdapat pelbagai kolaborasi strategik telah dicapai antara universiti tempatan dan pihak pemain industri tempatan dan luar negara,” ujarnya.
Selain daripada aspek komersial dan transaksi perniagaan, kata beliau, LIMA kali ini turut melebarkan kemeriahan dan keunggulannya dengan merekodkan pertambahan bilangan pameran aset statik.
“Malah, saya suka untuk menekankan buat pertama kalinya LIMA menampilkan a high-tech immersive experience dome yang dikenali sebagai A.T.M.O.S. Sphere yang merujuk kepada Aerospace, Technology, Maritime, Operations for Sustainability.
“Pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) mengusahakan agar inisiatif ini ditambah pada edisi kali ini sebagai satu usaha untuk menyemai minat dalam kalangan pengunjung, khususnya generasi muda tentang kehebatan serta kepentingan bidang berkaitan teknologi pertahanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE