KUANTAN – Tindakan licik pemilik kilang kayu mencampurkan kayu getah yang belum dikenakan cukai dengan kayu hutan bagi mengelak membayar cukai membawa padah apabila 45 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (Op Sawmill 3) yang dijalankan serentak di tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan baru-baru ini.
Operasi yang dilaksanakan pada 20 Mei lalu itu menyaksikan rampasan pelbagai jenis kayu hutan serta peralatan bernilai kira-kira RM30.8 juta dengan sebanyak RM11,313,329 adalah hasil khazanah berupa 47,709 batang kayu hutan pelbagai jenis dan saiz.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, antara rampasan lain ialah jentera berat bernilai RM4.34 juta dan alat pemotong serta pemprosesan kayu bernilai RM15.17 juta.
“Serbuan melibatkan 14 kilang di tiga negeri berkenaan dengan tujuh di Pahang manakala masing-masing empat di Kelantan dan Terengganu.
“Daripada 45 yang ditahan, 18 adalah rakyat tempatan, enam warga Myanmar, tujuh warga Bangladesh, 12 warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Nepal dan India,”katanya dalam sidang akhbar di Kem Bukit Galing, di sini hari ini.
Menurut Azmi daripada 45 individu yang ditahan seramai 18 orang dibebaskan dengan jaminan polis sementara 27 lagi masih ditahan reman bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan itu kini dalam siasatan pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan status barang kes masih dalam siasatan Jabatan Perhutanan.
“Kesalahan disiasat melibatkan pelbagai undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal tanpa dokumen sah, kesalahan menggaji pendatang tanpa izin, menjalankan operasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perhutanan dan Enakmen Industri Berasaskan Kayu, kegagalan mematuhi standard penginapan pekerja (Akta 446) serta memiliki daun ketum, dadah dan senjata berbahaya,”katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, operasi tersebut diketuai oleh Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman bersama Briged Tenggara PGA dengan kerjasama tujuh agensi termasuk Jabatan Perhutanan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia, membabitkan seramai 295 pegawai dan anggota.
Katanya, pendekatan pelbagai agensi itu membolehkan tindakan lebih menyeluruh dan berkesan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan.
“Kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan telah membuktikan keberkesanan pelaksanaan operasi menerusi perkongsian maklumat, kepakaran dan sumber secara sistematik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE