225 projek JKR dahului jadual

5 hours ago 2

KOTA KINABALU – Sebanyak 225 daripada 327 projek seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjalan mendahului jadual pelaksanaan membuktikan kesungguhan kerajaan mempercepatkan pembinaan infrastruktur rakyat di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia termasuk lima projek pembinaan di Sabah.

Katanya, sebanyak 102 projek pula berjalan mengikut jadual ditetapkan.

“Ia menunjukkan kemajuan positif. Pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan projek pembangunan fizikal dibuat secara berterusan dan selari dengan hala tuju kementerian ke arah pelaksanaan projek tanpa lanjutan masa.

“Daripada 855 projek yang sedang dilaksanakan, 828 berada di bawah seliaan JKR Malaysia, manakala baki 27 projek termasuk projek sekolah daif dikendalikan oleh JKR Sabah dan JKR Sarawak,” katanya ketika membuat tinjauan ke Projek Contoh Pembinaan Bangunan Tambahan Fasa 2 di Sekolah Sukan Malaysia Sabah, di sini semalam.

Menurut Ahmad, projek-projek itu dimiliki oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi Kerajaan Persekutuan yang lain.

Tambahnya, sebanyak 382 projek dengan nilai kerja berjumlah RM8.367 bilion sedang berada dalam kategori penyelenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf.

Sementara itu, 254 projek fizikal berjaya disiapkan dan diserahkan kepada kementerian pelanggan dengan nilai keseluruhan RM5.50 bilion, merangkumi pelaksanaan projek sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga RMK-12.

“KKR dan JKR komited untuk menambah baik proses perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek. Kontraktor bermasalah akan disenarai hitam dan tidak akan diberi lantikan semula, sementara mekanisme amaran awal serta pemantauan digital akan terus diperluas bagi mengenal pasti serta menangani isu lebih awal,” katanya.

Mengenai perkembangan Pembinaan Tambahan Kemudahan Sekolah Sukan Malaysia Sabah, beliau berkata projek itu kini telah mencapai 90 peratus kemajuan dan dijangka siap mengikut jadual, iaitu pada 6 November ini.

Setelah siap, sekolah berkenaan mampu menampung sehingga 600 pelajar atlet berbanding hanya 300 pelajar ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |