HULU LANGAT – Seramai 133 pekerja disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi membabitkan dua kilang di kawasan perindustrian di Balakong dan Shah Alam, hari ini.
Operasi bermula pukul 11 pagi itu dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada 162 individu diperiksa, seramai 133 individu warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (11), Bangladesh (65), India (4), Myanmar (17), Nepal (15), Pakistan (18), Vietnam (1) dan China (2) berusia antara 20 hingga 45 tahun.
“Kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad tidak diiktiraf,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai operasi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua tahanan warga asing akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria mengingatkan orang ramai dan majikan untuk tidak menggaji atau melindungi PATI kerana ia adalah kesalahan serius di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, Program Repatriasi Migran 2.0 akan tamat pada April 2026 dan semua PATI dinasihatkan supaya mengambil peluang itu segera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan lebih ketat selepas tempoh berakhir. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
6

















































