127 PATI dihantar pulang ke negara asal

1 day ago 8

PETALING JAYA – Seramai 127 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia dalam satu operasi pemindahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.

Daripada jumlah itu, 105 merupakan lelaki dewasa, 19 wanita dewasa serta tiga kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan berusia antara satu bulan hingga 64 tahun.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI terbabit sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Mereka telah menjalani hukuman penjara dan proses penghantaran pulang dilakukan selepas dokumen perjalanan disempurnakan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, semua PATI ini akan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan masing-masing.

“Sepanjang tahun ini, seramai 1,173 warga Indonesia telah dihantar pulang melalui jalan laut. Jumlah keseluruhan warga asing yang dipindahkan ke negara asal dari Sabah kini mencecah 6,053 orang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sitti Saleha berkata, kelancaran program ini bergantung kepada pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) secara berterusan oleh pihak Konsulat Indonesia.

“JIM Sabah akan terus melaksanakan operasi ini secara berkala bagi mengelakkan tahanan ditahan terlalu lama di depot. Pada masa sama, majikan dan pemilik premis diingatkan tidak menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

“Tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dikenakan kepada mereka yang melanggar undang-undang Imigresen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |