AMPANG JAYA – Seorang pemancing Muhammad Abdullah Selamat, 51, dari Beranang, Selangor dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang berlangsung di Tasik Pandan Perdana semalam selepas 10 tahun mencuba nasib dalam pertandingan memancing.
Dia yang bekerja di sebuah syarikat swasta menewaskan 513 peserta dari seluruh negara selepas menaikkan seekor patin seberat 4.660 kilogram pada pukul 11.18 pagi menggunakan umpan roti berperisa strawberi dan membawa pulang wang tunai RM4,000.
Katanya, ini adalah kali pertama bergelar juara setelah sekian lama menyertai pelbagai pertandingan.
“Sudah lama saya tunggu nak berdiri di atas podium, akhirnya termakbul juga. Alhamdulillah, rezeki memang tak sangka. Saya akan gunakan sebaik mungkin,” katanya.
Naib juara disandang Mohd. Ariffin Ahmad, 49, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang menaikkan patin seberat 2.865 kilogram dan membawa pulang RM1,000.
Tempat ketiga pula dimenangi Ahmad Alakhiri Ayob, 42, dari Rawang, Selangor dengan tangkapan keli seberat 1.865 kilogram, menerima hadiah RM700.
Pertandingan bermula seawal pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menarik penyertaan pemancing dari seluruh negara termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Melaka.
Antara spesies ikan yang berjaya dinaikkan termasuk patin, haruan, lekoh, puyu, raja, tilapia, ikan bandaraya, ketutu, lampam dan peacock bass.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari berkata, pertandingan itu bukan sahaja menyemarakkan semangat persaingan sihat, tetapi juga membantu mempromosikan kawasan tasik tersebut sebagai destinasi pelancongan komuniti.
“Kehadiran peserta dari pelbagai kaum dan peringkat umur membuktikan sukan memancing mampu merapatkan hubungan. Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan ini, kami bersetuju agar acara ini dijadi acara tahunan,” katanya. – KOSMO! ONLINE