Zul Ariffin belum ‘pencen’ berlakon drama

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Dilihat rancak dengan pelbagai filem, aktor Zul Ariffin menegaskan belum meninggalkan dunia drama dan masih menerima tawraan yang bersesuaian dengan genre dan jadual kerja.

Menurut Zul, 39, dia masih terbuka untuk berlakon drama kerana platform tersebut antara sebab utama namanya dikenali ramai sehingga hari ini.

“Saya tak pencen kerana suka drama cuma sekarang genre sudah berbeza.

“Contohnya, bila buat drama yang jalan cerita tentang curang, memang akan stres dan kepenatan sikit.

“Macam babak suami isteri bergaduh kemudian perlu menjerit sehingga hilang suara, jadi penatlah,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dalam masa sama, dia memberitahu drama mampu mencapai sasaran penonton yang lebih besar, berbilang bangsa dan setiap lapisan umur.

Ujarnya, perkara itu memberi kelebihan kepada pelakon untuk dikenali dan diingati sekiranya drama lakonan mereka memberi impak besar terhadap penonton.

“Saya sudah merasakan kedua-dua transisi itu, tiada masalah untuk buat drama TV dan filem malah suka momentum drama TV sebab ‘reach’ lebih jauh.

“Masyarakat di Perlis, Kedah atau mana-mana kawasan luar bandar semuanya menonton TV. Bukan semua orang sakan nak hidupkan enjin kereta pada hujung minggu untuk pergi tengok wayang.

“Tapi kalau TV, tontonan seisi keluarga. Jadi, saya belum tinggalkan dunia drama sebab bina dan buat nama di platform itu,” ujarnya.

Dia juga berkata, drama merupakan platform terbaik untuk mana-mana pelakon terutama pendatang baharu mengasah bakat.

“Kalau tanya saya, sekiranya mahu asah bakat lakonan, di situ (drama) tempat terbaik.

“Kerana drama banyak main emosi, setiap episod berbeza emosi. Drama bagus untuk seseorang melatih diri jadi pelakon,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai pendirian segelintir pendatang baharu yang menolak tawaran drama kerana lebih berminat dengan naskhah filem dan kandungan di platform penstriman (OTT), dia percaya setiap pelakon mempunyai cara tersendiri untuk perkembangan kerjaya masing-masing.

“Saya tidak tahu pendatang baharu sekarang punya penilaian tentang drama TV bagaimana. Mungkin mereka mengejar harga tetapi saya masih berpendapat berlakon drama juga penting.

“Bagus kalau ada budak baru yang leyak wajah mereka dalam drama TV tetapu mungkin pemikiran mereka berbeza,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |