Mencari si pemecut di unjam Kuantan

5 hours ago 3

Laut China Selatan yang terbentang luas menyimpan pelbagai khazanah marin dan menjadi antara lokasi pilihan kaki pancing yang ingin menguji keupayaan serta menikmati pengalaman memancing di tengah laut.

Kuantan khususnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selain terkenal sebagai destinasi pelancongan, kawasan perairannya turut menjadi tumpuan pemancing, terutama mereka yang memburu spesies ikan pelagik seperti tenggiri, layaran, aruan tasik, dorado, tongkol, cencaru dan pelbagai lagi.

Bagi sekumpulan tujuh peman­cing dari Selangor, perjalanan ke Kuantan bukan sekadar aktiviti hujung minggu, sebaliknya ada misi untuk memburu antara spesies yang cukup digeruni dalam dunia jigging iaitu ikan tenggiri.

Perjalanan kami bermula dari Jeti Nelayan Tanjung Api, Kuantan. Seawal pukul 4 pagi, semua ahli kumpulan telah bersedia dengan kelengkapan masing-masing sebelum menaiki bot yang disediakan oleh RM Jigger, satu perkhidmatan sewa bot memancing di Kuantan.

Walaupun suasana di jeti ketika itu masih gelap, namun keterujaan jelas dirasai dalam kalangan kami.

Setiap pemancing mempunyai harapan tersendiri dan semua mahu pulang dengan hasil tangkapan tenggiri.

Bagi sesetengah ahli kumpulan, ini mungkin bukan kali pertama mereka memburu spesies tersebut, namun bagi saya sendiri, pengalaman ini merupakan kali pertama turun ke perairan Pantai Timur, khusus untuk jigging tenggiri.

Setup sederhana
Persediaan peralatan memainkan peranan penting dalam menentukan kelancaran sesuatu trip memancing. Namun, memburu tenggiri tidak semestinya memerlukan peralatan yang terlalu berat atau ekstrem.

Untuk trip kali ini, kami menggunakan setup jigging sederhana yang sesuai dengan keadaan perairan dan sasaran utama.

Kebanyakan pemancing menggunakan joran jigging PE2-3, dipadankan dengan tali utama braided berkekuatan antara 35 hingga 40 paun (lb).

Bagi leader pula, kekuatan sekitar 40 hingga 50lb diikat sebagai perlindungan tambahan.

Jig yang digunakan berada dalam lingkungan 80 hingga 110 gram (g).

Pemilihan berat jig bergantung kepada keadaan arus kerana faktor tersebut sangat mempengaruhi pergerakan jig di dalam air.

Sekiranya arus kuat, jig yang lebih berat diperlukan bagi memastikan ia dapat sampai ke perimeter sasaran dengan lebih cepat.

Sebaliknya, apabila arus perlahan, jig yang lebih ringan boleh digunakan bagi menghasilkan aksi lebih semula jadi.

Kawasan unjam
Perjalanan menuju ke kawasan unjam mengambil masa lebih kurang tiga jam dan sepanjang tempoh tersebut, kebanyakannya mengambil peluang untuk berehat.

Perjalanan di tengah laut pada waktu awal pagi memberikan pengalaman berbeza. Dalam suasana gelap, bot terus membelah laut menuju ke lokasi unjam yang telah dikenal pasti sebagai kawasan ikan tenggiri bermain.

Sampai sahaja ke lokasi, semua pemancing mula menurunkan jig masing-masing.

Keterujaan yang dibendung sepanjang perjalanan akhirnya terlerai apabila sambaran pertama mula berlaku.

Tidak lama kemudian, sambaran demi sambaran terus diterima dan ikan tenggiri yang menjadi sasaran utama ternyata aktif di unjam tersebut.

Ketika jigging, detik sambaran merupakan antara saat yang paling mendebarkan.

Pemancing perlu bertindak pantas melakukan sentapan, dan seterusnya mengawal tekanan pada ikan.

Kepuasan apabila misi memburu ikan tenggiri di perairan Kuantan berjaya menghasilkan tangkapan membanggakan.

Gigi tajam
Bentuk badan ikan tenggiri yang aerodinamik menjadikannya antara pemangsa yang laju pecutannya di laut. Selain kekuatan pecutannya, profil paling digeruni pada ikan ini adalah barisan giginya yang tajam seperti pisau.

Ia menjadi cabaran utama kepada pemancing kerana tali atau leader mudah terputus sekiranya terkena bahagian tersebut.

Selalunya, pemancing mungkin hanya mampu merasai sambarannya, sebelum tali tiba-tiba putus dan jig hilang bersama ikan.

Bagi saya yang pertama kali memburu tenggiri, pengalaman tersebut memberikan banyak ilmu baharu.

Teknik menghayun jig, cara mengawal rentak karauan, kedudukan jig di dalam air dan pengendalian drag merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian.

Pengalaman rakan-rakan yang lebih lama dalam dunia jigging turut menjadi sumber pembelajaran sepanjang trip berlangsung.

Setiap pemancing mempunyai cara tersendiri untuk mempersembahkan jig, bergantung pada keadaan arus dan aktiviti ikan pada waktu tersebut.

Selain itu, panduan daripada tekong juga sangat membantu kerana dia lebih mengetahui keadaan perairan dan lokasi berpotensi serta perangai ikan.

Mencuri perhatian
Walaupun misi utama kami adalah memburu tenggiri, namun kawasan unjam tersebut sebenarnya cukup meriah dengan kehadiran pelbagai spesies ikan lain.

Antara yang turut aktif adalah ikan tongkol dan cencaru bersaiz besar. Se­sekali, jig yang diturunkan dibedal oleh spesies tersebut dan memberikan pertarungan tidak kurang menarik.

Kehadiran ikan-ikan pelagik lain menunjukkan bahawa kawasan unjam tersebut mempunyai aktiviti hidupan laut yang baik.

Ikan-ikan kecil yang bermain di sekitar struktur unjam menjadi sumber makanan kepada spesies lebih besar.

Namun begitu, fokus utama kumpulan kami tetap pada ikan tenggiri.

Setiap kali jig diturunkan, harapan tetap untuk menerima sambaran daripada spesies sasaran.

Aktiviti jigging diteruskan sepanjang hari dengan pemancing silih berganti melakukan henjutan dan karauan.

Teknik jigging sememangnya ­me­me­r­lukan tenaga yang tinggi. Pergerakan berulang kali untuk menghasilkan aksi jig boleh menyebabkan tangan dan bahu cepat lenguh, terutama selepas beberapa jam berada di atas bot.

Namun, keletihan tersebut biasanya hilang sebaik sahaja berlaku sambaran.

Bagi seorang jigger, peluang untuk bertarung dengan ikan merupakan motivasi terbaik untuk terus menghayun jig.

Masa berlalu tanpa disedari dan selepas hampir seharian berada di laut, tekong membuat keputusan untuk bergerak pulang sekitar pukul 4 petang.

Apa yang paling menggembirakan, semua tujuh pemancing dalam kumpulan kami berjaya menaikkan ikan tenggiri.

Read Entire Article
Pertanian | | | |