Adik rayu cari abang hilang di Kemboja

1 hour ago 2

KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga merayu bantuan orang ramai bagi mengesan Emmanuel Christinus Herman yang dipercayai dikurung dan didera sindiket di Sihanoukville, Kemboja sejak Jun lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, lokasi sebenar Emmanuel ketika ini menjadi perkara paling kritikal bagi membolehkan usaha menyelamatkan mangsa digerakkan.

“Emmanuel sebelum ini bekerja sebagai petugas penerimaan tetamu di sebuah kasino di Sihanoukville sebelum membuat pinjaman RM12,000 bagi menguruskan masalah tinggal melebihi tempoh, selain urusan visa dan pasport.

“Pinjaman tersebut telah dibayar melalui penukar wang menggunakan mata wang kripto USDT. Bagaimanapun, kira-kira 24 jam kemudian, sebuah sindiket didakwa mula mengawal Emmanuel dan menuntut wang tebusan RM20,000 daripada keluarganya,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat MHO hari ini.

Hotel Dolphin di Sihanoukville dikenal pasti sebagai lokasi terakhir Emmanuel, dengan keluarga mendakwa lelaki itu dipukul, dikurung, dikawal ketat dan hanya diberikan makanan sekali sehari.

Bagaimanapun, keluarga terputus hubungan dengannya sejak Jun lalu.

Pemeriksaan pihak berkuasa Kemboja di hotel berkenaan selepas dihubungi Wisma Putra turut gagal menemukan Emmanuel.

Hishamuddin berkata, MHO mempunyai rangkaian pasukan petugas, aktivis tempatan serta kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Kemboja yang bersedia membantu sebaik sahaja lokasi mangsa dikenal pasti.

Beliau berkata, Emmanuel bekerja di kasino dan bukannya sebagai pelaku penipuan, namun terdapat kebimbangan mangsa mungkin telah dipindahkan ke pusat penipuan berskala kecil dan dipaksa melakukan kegiatan berkenaan.

“Justeru, kami meminta orang ramai khususnya komuniti Malaysia di Kemboja termasuk Sihanoukville, Phnom Penh dan Kampong Cham tampil menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu mengesan Emmanuel.

“Maklumat itu amat penting bagi membolehkan usaha menyelamat dan membawa mangsa pulang ke Malaysia digerakkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |