Bergasak kerapu di perairan Kelantan

6 hours ago 4

Bot kami meninggalkan Jeti Pengkalan Petah, Bachok, Kelantan pada pukul 3 petang dalam keadaan cuaca yang begitu cantik. Tiada langsung tanda-tanda akan hujan atau berangin kuat hingga kami berasa aman dan tenang.

Kami tiba di unjam pertama untuk mencari ikan-ikan kecil seperti selar, kembung dan tamban hidup menggunakan apollo sebagai umpan utama sepanjang sesi memancing, manakala candat pula diturunkan untuk mencari sotong sebagai umpan tambahan.

Seperti biasa, selepas cukup umpan ikan hidup dan sotong yang diperlukan, bot terus menuju ke lokasi lain untuk mencari ikan sasaran pula iaitu kerapu saiz kasar.

Kami sampai di lokasi pancing pada awal malam dengan perjalanan selama satu jam lebih.

Di sini, pelbagai ikan demersal dinaikkan berikutan umpan yang masih segar.

Antara spesies ikan yang berjaya dinaikkan adalah ebek, merah, aruan tasik, remong dan cupak.

Pendek kata, tiada seorang pemancing pun yang ‘kumpau’, semua dapat hasil tangkapan memuaskan.

Malangnya, keseronokan terhenti menjelang pukul 2 pagi apabila ikan mula mengunci mulut. Tekong mengambil keputusan untuk berpindah lokasi pancingan yang baharu.

Ikan kerapu terbesar trip, seberat 19.7 kilogram.

Lubuk kerapu saiz kasar
Pada pukul 5 pagi barulah kami tiba di lokasi, ia merupakan jajaran paip minyak di dasar laut.

Bagi melabuhkan umpan tepat di ‘rumah’ ikan, tekong mengarahkan semua pemancing menggunakan tanduk (spreader) kerana bot perlu berhanyut sambil pemancing melabuhkan umpan (bottom drift).

Sememangnya, tekong pakar tentang lubuk kerapu, banyak ekor kami dapat daratkan di lokasi ini.

Menariknya, hasil tangkapan juga disulami spesies ikan lain yang bersaiz kasar. Memandangkan kami sudah berada di lokasi yang dipenuhi ikan, maka bot terus ‘berkampung’ di situ sehingga pagi.

Apabila mentari pagi semakin meninggi, peratusan ikan kerapu membaham umpan mula berkurangan, hampir satu jam lebih umpan kami langsung tidak dicuit. Keadaan ini menyebabkan tekong berpindah ke lokasi lain pula.

Selepas kira-kira dua jam perjalanan, bot tiba ke lubuk baharu.

Namun tiada sambutan memberangsangkan daripada penghuni dasar hingga menyebabkan kami berpindah lagi.

Memandangkan ia merupakan hari terakhir trip, tekong mencuba beberapa lokasi di perjalanan balik ke jeti.

Kami hanya singgah sekejap di setiap lubuk, malah bot langsung tidak bersauh. Pancingan dasar hanya dilakukan secara berhanyut.

Dengan cara ini dapatlah kami men­gutip beberapa ekor hasil tangkapan bagi memenuhkan tong ais masing-masing sehinggalah tamat sesi pancingan.

Hasil trip ini, kami memperolehi sebanyak 53 ekor ikan kerapu, 37 ekor daripadanya bersaiz dua kilogram ke
atas dan paling besar adalah 19.7 kilogram.

Read Entire Article
Pertanian | | | |