‘Yakin bersih je gosok gigi sebelah mangkuk tandas’

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Ramai menganggap meletakkan berus gigi bersebelahan mangkuk tandas sebagai perkara biasa, namun tabiat yang kelihatan remeh itu sebenarnya boleh meningkatkan risiko pencemaran kuman tanpa disedari.

Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook hari ini, ia menjelaskan bagaimana berus gigi boleh terdedah kepada percikan halus dan partikel mikro setiap kali tandas dipam.

“Itulah antara tabiat yang boleh buka jalan kuman masuk ke mulut setiap hari. Setiap kali tandas di-flush (pam), percikan halus dan partikel mikro boleh tersebar ke udara dan hinggap pada permukaan sekeliling, termasuk berus gigi, bekas berus dan sinki berdekatan.

“Kalau berus gigi dibiarkan terlalu dekat dengan mangkuk tandas, lebih-lebih lagi tanpa penutup atau bekas yang bersih, risiko pencemaran memang meningkat,” jelas PHM.

Hantaran itu menambah, berus gigi yang telah tercemar akan digunakan secara terus di dalam mulut setiap hari.

“Apa risikonya? Kuman daripada persekitaran tandas boleh mencemari bulu berus gigi. Meningkatkan risiko gangguan kebersihan mulut.

“Boleh jadi punca jangkitan saluran pencernaan jika kebersihan sangat tidak terjaga. Lebih berisiko untuk kanak-kanak, warga emas dan individu dengan imuniti lemah,” katanya.

Sehubungan itu, PHM menasihatkan orang ramai supaya menyimpan berus gigi sejauh mungkin daripada mangkuk tandas bagi mengurangkan risiko pencemaran.

Selain itu, PHM menggalakkan pengguna menutup penutup tandas sebelum melakukan proses pam bagi mengelakkan percikan mikro tersebar ke udara.

“Letakkan berus gigi dalam posisi tegak supaya ia cepat kering dan elakkan menggunakan bekas berus yang lembap atau kotor. Tukar berus gigi setiap tiga bulan atau selepas demam, selesema atau sakit tekak.

“Benda nampak remeh. Tapi bila digunakan hari-hari, remeh itu boleh jadi laluan kuman yang kita tak sedar. Jaga tandas, jaga berus gigi dan jaga apa yang masuk ke mulut kita,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |