PETALING JAYA – Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka menjadi pemangkin pembangunan di utara Selangor, khususnya di Tanjong Karang dan Sungai Besar.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix berkata, pembukaan sepenuhnya lebuh raya berkenaan bakal memendekkan masa perjalanan antara Tanjong Karang dan Klang kepada kira-kira 30 minit, berbanding tempoh sedia ada.
Menurut beliau, jajaran sepanjang 314.5 kilometer itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pembangunan bandar dan perumahan baharu di sepanjang jajaran.
“Ada tiga lagi bahagian yang sedang dalam pembinaan, dan sasaran kami ia dibuka pada suku pertama tahun hadapan. Jadi, menjelang awal tahun 2027, kita akan menyaksikan jajaran WCE dari Banting ke Taiping siap sepenuhnya.
“Perjalanan ulang-alik menjadi lebih cekap dan pantas, sekali gus berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi, termasuk pembangunan lebih banyak kawasan bandar dan perumahan sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) WCE Holdings Berhad di Petaling Jaya, hari ini.
Dalam pada itu, Lyndon berkata, WCE turut berperanan sebagai koridor logistik penting bukan sahaja untuk Selangor, malah Perak juga.
Katanya, kedudukan WCE yang mempunyai jajaran lebih landai berbanding Lebuh Raya Utara-Selatan selain kedudukannya berhampiran Pelabuhan Klang dan Lumut, turut menjadi antara kelebihan lebuh raya berkenaan.
“Pelbagai pembangunan logistik sedang berlangsung antaranya seperti pembangunan di Pulau Carey, Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut.
“Semua pembangunan itu akan bergantung kepada WCE sebagai tulang belakang infrastruktur penting, bukan sahaja sektor logistik tetapi juga pembangunan ekonomi di sepanjang jajaran tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
5



































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













