KRS Travel khidmat dari hati untuk Ilahi

19 hours ago 6

“JEMAAH adalah raja. Jaga dan bimbing mereka dengan penuh amanah. Jangan salah guna duit bayaran sehingga jemaah selamat pulang ke tanah air.”

Itulah pegangan dan kunci kejayaan KRS Travel Sdn. Bhd. sejak lebih 27 tahun lalu untuk kekal dalam industri kembara ke Tanah Suci bagi jemaah umrah dan haji sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Ssunaibari Mohd. Khalil berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya telah menguruskan lebih 217,000 jemaah dari seluruh Malaysia, menjadikan syarikat antara agensi yang paling dipercayai.

Hanya bermodalkan RM3,000 untuk perjalanan kumpulan pertama jemaah umrah sekitar 1999, kini KRS Travel setaraf dengan agensi pelancongan utama di Malaysia dengan lebih 50 petugas terdiri daripada mutawif bertauliah, pengurusan dan barisan kepimpinan.

KRS Travel turut mempelbagaikan perniagaan untuk menceburi bidang inap desa, ternakan lembu dan kambing, katering serta pengurusan acara untuk memperkukuhkan kewangan syarikat selepas mengalami zaman merudum akibat Covid-19.

KOSMO: Apa yang dimaksudkan dengan nama KRS?

Mohammad Ssunaibari: Ia diambil daripada nama anak saya. K untuk Mohammad Yusoff Khalili, R untuk Ahmad Ridhwan dan S bagi Mohammad Syahir.

Bagaimana KRS Travel ditubuhkan?

Ia bermula selepas saya berhenti kerja di sebuah syarikat travel. Berbekalkan pengalaman dan sedikit modal, saya mula secara kecil-kecilan membawa jemaah. Modal permulaan ha­nya RM3,000 sebelum berkembang seperti yang ada sekarang.

Mohammad Ssunaibari

Apa antara cabaran yang dihadapi sehingga kini?

Ketika ini pasaran dilihat tidak begitu memberangsangkan dan rata-rata syarikat travel meng­alami penyusutan jemaah. Faktor luaran se­perti peperangan, eko­nomi global, wabak penyakit ekstrem dan sebagainya menjadi punca kepada masalah ini.

Syarikat sebelum ini tidak beroperasi selama dua tahun ketika Covid-19 dan sejak itu kami telah mempelbagaikan perniagaan ter­masuk katering, inap desa di Kampung Sungai Landak, Se­remban, penternakan lembu dan kambing untuk korban dan akikah di Kampung Sungai Machang Ulu, Lenggeng dan pengurusan acara di Sikamat.

Kami juga pernah ditipu sehingga mengakibatkan kerugian besar. Sebahagian duit jemaah hilang. Namun itu tidak mematah­kan semangat kami untuk te­rus mengorak langkah.

Apa tindakan diambil untuk mengatasi masalah ini?

Kami menyediakan pakej kem­bara umrah bersama artis, us­taz selebriti dan wakil rakyat Ne­geri Sembilan bersama pe­ngundi me­reka di empat kawasan Dewan Un­dangan Negeri. Satu kumpulan antara 90 hingga 135 orang.

Promosi mulut ke mulut bia­sanya lebih berkesan dan akan menghasilkan jemaah berulang. Daripada seorang, mereka akan membawa ahli keluarga pula untuk menunaikan umrah atau haji dengan kami.

Selain di Negeri Sembilan, ka­mi membuka ca­wangan di seluruh negara seperti di Ampang, Pendang, Bandar Penawar (Johor), Kuching, Gemas, malah di Balikpapan, Kalimantan, Indonesia.

Apa keistimewaan servis KRS Travel?

Kami telah dilantik sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) sejak 2023 oleh Tabung Haji yang membuktikan kemampuan kami mengendalikan jemaah. Kami juga menjadi rakan strategik kepada Malaysia Airlines.

Kami menyediakan pakej me­ngikut kemampuan jemaah selain bimbingan mutawif berpengalaman di Tanah Suci.

Pakej terendah kami berharga RM5,990 di mana hotel terletak pada jarak 500 meter dari Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

KRS Travel juga telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan jemaah Bank Muamalat Indonesia (Cawangan Kuala Lum­pur), Kejora, Angkasa dan lain-lain.

Apa punca kekuatan KRS?

Memandangkan KRS adalah salah satu daripada syarikat yang mendapat kepercayaan Tabung Haji, saya berharap jemaah akan lebih yakin kepada kami.

Kami sering terima maklum ba­las positif daripada jemaah mengenai layanan mutawif, pe­nginapan dan makanan. Paling penting doa mereka buat kami selepas merasai perkhidmatan mesra dan cekap yang ditawarkan.

Sedikit kata-kata semangat buat industri?

Rakan industri perlu amanah dan jangan mudah gelap mata. Elakkan suka ‘rolling’ duit kerana ia bukan hak kita selagi jemaah tidak selamat kembali ke tanah air.

Read Entire Article
Pertanian | | | |