SUNGAI BULOH – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memberi ruang lebih bebas dan terbuka kepada penggiat seni tempatan dalam berkarya.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha agensi itu bersama Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi memastikan industri perfileman negara berkembang dalam suasana lebih terbuka.
“Saya fikir ini memang pendekatan Finas dan LPF. Ini kerana kita sentiasa bekerjasama dengan LPF.
“Kalau kita lihat dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, LPF sudah bergerak lebih terbuka dan memberi lebih penekanan kepada penapisan lebih terbuka,” katanya selepas perasmian Menara Finas Damansara, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac.
Menurut Azmir lagi, perubahan sistem penarafan LPF membolehkan karya ditayangkan tanpa perlu melalui pemotongan babak tertentu, sebaliknya disertakan klasifikasi umur yang bersesuaian.
“Kalau kita lihat kadar dan rating LPF pun sudah berubah. Bagi Klasifikasi 18 dan 16, mereka tidak lagi memotong babak, sebaliknya membenarkan filem berkenaan ditayangkan, tetapi menetapkan kanak-kanak tidak boleh datang menonton.
“Itu juga merupakan satu langkah progresif yang memang kita inginkan supaya LPF bergerak ke arah sedemikian,” ujarnya.
Begitupun, Azmir menegaskan keterbukaan dalam pembikinan karya tidak bermakna aspek budaya dan jati diri tempatan perlu diketepikan, sebaliknya kedua-dua elemen itu wajar menjadi asas dalam menghasilkan karya berkualiti.
“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, saya fikir fokusnya lebih kepada aspek kebudayaan dan jati diri sesebuah filem itu bagi merealisasikan kandungan kita untuk dieksport ke seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Hans berkata, perpindahan operasi agensi terbabit dari Petaling Jaya ke Menara Finas Damansara dilaksanakan berdasarkan perjanjian pertukaran tanah yang dipersetujui kira-kira 10 tahun lalu.
“Pada masa itu kami mendapat arahan dan kami laksanakan berdasarkan perkara yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu. Mereka ada ‘land swap deal’ pada masa itu.
“Jadi, kami akur dengan perjanjian yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum itu. Kami terpaksa meneruskan apa yang sudah dipersetujui dalam perjanjian berkenaan,” ulasnya.
Katanya lagi, Finas kini tidak memiliki tapak di Petaling Jaya selepas proses berkenaan dimuktamadkan bulan lalu.
Terdahulu, Anwar merasmikan Menara Finas Damansara yang menandakan fasa baharu pengukuhan ekosistem industri filem dan audiovisual negara dalam kerangka Ekonomi Jingga.
Ibu pejabat baharu itu menghimpunkan fungsi pembangunan industri, pelesenan dan penguatkuasaan serta dokumentasi dan pengarkiban audiovisual negara di bawah sebuah institusi lebih bersepadu dan tangkas dalam mendepani perubahan landskap kandungan digital.
Perasmian itu turut bertepatan dengan tahun 2026 yang menandakan ulang tahun ke-45 penubuhan FINAS selain memperingati 80 tahun legasi Filem Negara Malaysia.
Menara setinggi 15 tingkat dibangunkan di atas tapak seluas 5.14 ekar dengan menyediakan persekitaran kerja lebih moden termasuk kemudahan teknikal seperti studio dan fasiliti produksi.
Finas mula beroperasi sepenuhnya di lokasi baharu itu pada 6 Ogos lalu dan antara kemudahan adalah Dewan Panca Delima, dua studio Sound Stage, Pawagam Digital P. Ramlee, ruang latihan serta muzium yang menyimpan sebanyak 81,770 bahan arkib audiovisual negara. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3



































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













