Teknologi AI, IoT mampu modenkan sektor pertanian negara – Mohamad

8 hours ago 5

PETALING JAYA – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) perlu diperluaskan dalam sektor pertanian negara bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sektor agromakanan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah pertanian konvensional sebaliknya perlu bergerak seiring perkembangan teknologi.

“Teknologi seperti AI, IoT dan sistem pemantauan pintar mempunyai potensi besar untuk membantu memodenkan sektor pertanian.

“Malaysia sendiri sedang bergerak ke arah pertanian pintar bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan memastikan sektor agromakanan lebih mampan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sempena lawatan ke Dahua Technology di Hangzhou, China bagi melihat sendiri keupayaan teknologi AIoT serta sistem inovasi yang dibangunkan syarikat berkenaan.

Melalui teknologi itu katanya, antara bidang yang boleh diterokai termasuk pertanian berketepatan (precision farming), pemantauan automatik serta pengurusan rantaian bekalan yang lebih pintar dan cekap.

Jelas beliau, teknologi berkenaan perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh petani dan pengusaha agromakanan.

“Kalau teknologi seperti ini dapat disesuaikan dengan keperluan tempatan, ia mampu membawa perubahan besar kepada ladang dan perusahaan agromakanan di negara kita.

“Lawatan ini juga membuka ruang untuk kita meneroka kerjasama yang lebih konkrit antara Malaysia dan Dahua Technology dalam membawa teknologi moden ke sektor pertanian negara,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi sebaliknya perlu mempelajari, bekerjasama dan membawa pulang teknologi yang sesuai untuk membantu petani serta memajukan sektor pertanian.

“Yang baik kita pelajari, yang sesuai kita bawa pulang dan kita sesuaikan untuk Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |