‘Jangan serik datang ke Thailand, hormati undang-undang’

12 hours ago 6

GEORGE TOWN – Rakyat Malaysia tidak perlu takut untuk berkunjung ke Thailand susulan isu membabitkan sekumpulan 17 penunggang motosikal yang ditahan dan dikompaun pihak berkuasa negara itu baru-baru ini.

Pengerusi Pejabat Penyelarasan Pelancongan ASEAN, Luca Male berkata, Thailand sentiasa mengalu-alukan kunjungan pelancong Malaysia ke Thailand termasuk Hat Yai, namun perlu menghormati dan mematuhi undang-undang negara berkenaan.

Katanya, sebarang tindakan penguatkuasaan yang dikenakan ke atas pelancong perlu dilihat berdasarkan kes yang berlaku dan tidak seharusnya menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara terbabit.

“Kami mengalu-alukan semua pelancong dan penunggang motosikal Malaysia ke Hat Yai dan seluruh Thailand. Jangan bimbang dan takut, datanglah dan nikmati percutian anda di Thailand.

“Bagaimanapun, jika datang ke Thailand, hormatilah undang-undang negara ini sebagaimana kami menghormati undang-undang Malaysia ketika berkunjung ke negara anda,” katanya di sini, hari ini.

Luca Male.

Beliau berkata, mana-mana pelancong yang didapati melakukan kesalahan ketika berada di negara asing semestinya bersedia menerima tindakan dan menyelesaikan perkara tersebut melalui saluran yang betul.

Beliau menasihatkan pelancong yang berdepan sebarang masalah supaya membuat aduan menerusi saluran rasmi, bukannya meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.

“Aduan boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa, gabenor, pihak pelancongan, konsulat atau kedutaan bagi membolehkan perkara berkenaan diteliti dan tindakan sewajarnya diambil.

“Lebih baik buat laporan rasmi dan kemukakan dokumen berserta bukti. Jangan hanya bercakap di media sosial kerana ia boleh menyebabkan berlaku salah faham dan pertelingkahan.

“Malaysia dan Thailand adalah negara jiran dan bersaudara. Jangan kerana satu kes, hubungan dan sektor pelancongan kedua-dua negara terjejas,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, insiden membabitkan 17 penunggang motosikal Malaysia yang ditahan dan dikompaun pihak berkuasa di Thailand wajar dijadikan peringatan berhubung kepentingan menghormati peraturan negara asing.

Beliau berkata, setiap rakyat di negara ini perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab ketika berada di negara jiran selaras semangat ASEAN yang menekankan persefahaman, toleransi serta saling hormat-menghormati. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |