MURELI (depan) dan isterinya, Mary dihadapkan ke Mahkamah Mejistret Kluang hari ini didakwa bersama seorang lagi rakannya mengedar 24kg dadah di Kampung Gajah, Mersing, 13 Ogos lalu. Foto ADNAN IBRAHIM/KOSMO!
- Oleh ADNAN IBRAHIM
- 24 Ogos 2026, 1:55 pm
KLUANG – Sepasang suami isteri dan seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan edar dadah jenis heroin dan methamphetamin seberat 24 kilogram (kg) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, K. Mureli, 47, dan isterinya, M. Mary, 44, dan Adwin Nicholas Xavier, 41, membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham dengan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh dituduh secara bersama mengedar dadah berbahaya disyaki jenis heroin dengan anggaran berat kasar 17,770 gram di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Gajah di Jalan Mersing kira-kira pukul 5.20 petang, 13 Ogos lalu.
Dengan kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamin anggaran berat kasar 6,687 gram di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE

16 hours ago
6



































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













