SHAH ALAM – Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menutup tirai secara rasmi malam ini sebelum baton penganjuran diserahkan kepada Kelantan untuk menganjurkan temasya dwitahunan itu pada edisi 2028.
Selangor meninggalkan Sukma 2026 dengan tanda aras tinggi selepas muncul juara keseluruhan apabila membolot 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa untuk keseluruhan 245 pingat, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat kali ke-10 dalam sejarah temasya dwitahunan itu.
Kejayaan itu lebih manis apabila Selangor bukan sahaja kembali menjadi juara selepas kali terakhir melakukannya pada Sukma Sarawak 2016, malah turut memperbaiki pencapaian ketika menjadi tuan rumah pada 1998.
Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu di tempat ketiga menerusi 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.
Lebih membanggakan, majlis penutupan di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini turut menyaksikan perenang sensasi Selangor, Eliza Tan Ai Shen dinobatkan Atlet Wanita Terbaik selepas merangkul tujuh pingat emas.
Atlet berusia 19 tahun itu turut melakukan kejutan dengan memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) gaya bebas wanita kepada 56.78 saat (s)
Eliza turut meraih emas 200m gaya bebas selain memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 50m individu, 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian.
Bagi kategori lelaki, penembak Pahang, Cheah Zen Hong dipilih Atlet Lelaki Terbaik selepas menyumbang sembilan emas dan satu perak selain memecahkan rekod kejohanan dalam acara 10m Air Pistol dan 25m Sport Pistol.
Pengiktirafan kepada kedua-dua atlet terbaik itu serta kontinjen Selangor disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sukma yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos itu menghimpunkan lebih 12,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen negeri serta Brunei Darussalam, dengan 37 jenis sukan dan 368 acara dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 51 fasiliti.
Selepas 10 hari menyaksikan atlet muda negara berentap memburu kejayaan, majlis penutupan bertemakan ‘Rentak Kita, Aksi Kita’ turut memberi penghargaan kepada jurulatih, pegawai teknikal, petugas dan sukarelawan yang memastikan temasya berlangsung lancar.
Kini, perhatian beralih kepada Kelantan yang bakal mengambil alih tugas sebagai tuan rumah Sukma 2028, sekali gus membuka lembaran baharu buat negeri Cik Siti Wan Kembang untuk menganjurkan temasya itu.
Sukma yang diperkenalkan pada 1986 kekal menjadi antara pentas utama mencungkil bakat muda negara sebelum mereka melangkah ke pentas lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan seterusnya di Sukan Olimpik. -KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5



































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













