Jet Sukhoi tergelincir di landasan lapangan terbang Sultan Hasanuddin

12 hours ago 6

JAKARTA – Sebuah jet pejuang Sukhoi milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU)    terbabas di landasan barat  Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di Maros, wilayah Sulawesi Selatan hari ini, lapor laman berita Jakarta Globe.

Video rakaman amatur yang tular di media sosial menunjukkan jet itu berhenti di hujung Landasan 13, dengan muncungnya menghadap ke bawah setelah dipercayai gagal berhenti sebelum sampai ke penghujung landasan.

Insiden   berlaku berhampiran jalan utama Maros-Makassar, di mana orang ramai  terdiri daripada penduduk setempat dan pengguna jalan raya berhenti untuk melihat pesawat tersebut, menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku.

Anggota TNI-AU dan polis telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan dan lalu lintas. Kain rentang putih turut dipasang di sepanjang pagar landasan bagi mengehadkan pandangan pengguna jalan raya terhadap insiden tersebut.

Pengendali lapangan terbang mengesahkan kejadian di Landasan 13 itu dan menyatakan,  usaha untuk mengalihkan pesawat tersebut sedang dilakukan.

“Berdasarkan video tular yang tersebar di media sosial, kami boleh mengesahkan insiden berlaku di landasan barat, Landasan 13  di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin. Usaha pengendalian sedang dijalankan,” kata pemangku ketua Jabatan Komunikasi Cawangan dan CSR lapangan terbang tersebut, Taufan Yudhistira

Pihak lapangan terbang memaklumkan bahawa insiden itu tidak menjejaskan operasi penerbangan. Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin terus beroperasi seperti biasa menggunakan Landasan utara-selatan 03-21.

Setakat petang ini, TNI-AU belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden itu. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |