SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan perintah pengosongan serta-merta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Roz Mawar Rozain dalam prosiding secara sidang video menerusi aplikasi Zoom pada pukul 4 petang tadi.
Mahkamah turut memerintahkan Kerajaan Negeri Sembilan membayar kos sebanyak RM25,000 kepada responden dalam kes berkenaan Abdul Rahim Yasin dan Datuk Mubarak Dohak .
Turut dinamakan sebagai responden semua penghuni atau individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Kes berkenaan membabitkan saman pemula yang difailkan Kerajaan Negeri Sembilan selaku pemohon terhadap Abdul Rahim dan Mubarak serta semua penghuni dan individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Sungei Ujong.
Dalam permohonan tersebut sebelum ini, kerajaan negeri memohon perintah bahawa pihaknya selaku pemilik premis berhak mendapatkan milikan kosong kedua-dua premis berkenaan.
Kerajaan negeri turut memohon deklarasi bahawa responden yang memasuki atau menduduki premis terbabit tanpa hak, lesen atau kebenaran adalah penceroboh dan tidak mempunyai hak untuk terus mendudukinya.
Pemohon seterusnya memohon supaya semua responden diarahkan mengosongkan serta menyerahkan milikan kosong kedua-dua premis berkenaan kepada kerajaan negeri dengan serta-merta.
Bagaimanapun, selepas mendengar permohonan pihak-pihak terbabit, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan permohonan Kerajaan Negeri Sembilan ditolak.
Pihak pemohon, Kerajaan Negeri Sembilan diwakili peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff, manakala Abdul Rahim serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau pula diwakili peguam, Choo Shi Jin, sementara Mubarak serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Sungei Ujong pula diwakili peguam, Asmawi Ismail. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
6



































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













