KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyifatkan golongan wartawan sebagai penjaga nurani demokrasi yang berperanan dalam memimpin masyarakat ke arah kebenaran dan keadilan.
Menurutnya, kebebasan media yang beretika bukanlah satu ancaman, sebaliknya menjadi benteng terakhir untuk memastikan kezaliman dan manipulasi maklumat dapat dicegah.
“Pena dan lensa saudara-saudari ibarat obor yang menerangi jalan demokrasi, menuntun masyarakat keluar daripada kegelapan penindasan dan kejahilan,” katanya dalam ucapan perasmian Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2024 di sini hari ini.
Majlis anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dengan kerjasama Petronas sebagai penaja utama itu menghimpunkan tokoh-tokoh media, editor, wartawan serta pengamal komunikasi dari seluruh negara.
Zambry turut mengupas cabaran kewartawanan era digital yang menyaksikan ledakan berita, penularan maklumat palsu dan fenomena ‘filter bubble’ yang mengekang pandangan pelbagai pihak.
“Apabila audien terperangkap dalam gelembung ini, fungsi wartawan sebagai penyampai kebenaran menjadi lebih mencabar. Wartawan perlu memecahkan dinding gema dengan laporan yang inklusif dan berimbang.
“Saya juga mengingatkan tentang bahaya era pasca-kebenaran (post-truth) yang membuka ruang luas kepada teori konspirasi dan kehilangan kepercayaan masyarakat terhadap media arus perdana,” tegasnya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, wartawan masa kini perlu kembali kepada asas kewartawanan iaitu berpegang pada kebenaran dan tanggungjawab sosial bagi menangkis cabaran teknologi dan permainan emosi netizen.
“Tugas kita bukan untuk menggembirakan pemerintah atau memburukkan mereka, tetapi menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dengan fakta dan hujah,” jelas beliau.
Zambry turut memuji peranan MPI sebagai institusi yang memartabatkan kewartawanan melalui anugerah, latihan profesional serta inisiatif ilmiah seperti penerbitan jurnal E-Kewartawanan pertama di negara ini.
Katanya, kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan organisasi media perlu diperkukuh bagi melahirkan wartawan berilmu, beretika dan peka terhadap isu semasa termasuk kecerdasan buatan (AI), undang-undang siber dan analitik data. -KOSMO! ONLINE.