Warga asing tinggal lebih masa akan dikompaun – Saifuddin

10 hours ago 5

BALING – Warga asing yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini iaitu bagi tempoh kurang 90 hari dengan alasan munasabah, akan dikenakan kompaun berbanding didakwa di mahkamah.

Tindakan kompaun itu akan mula dilaksanakan pada bulan hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengikut prosedur sedia ada, warga asing yang tinggal lebih masa akan disiasat dan menjalani proses pendakwaan.

“Bila kita kenakan kompaun, maknanya ia tidak berakhir dengan pendakwaan. Asalnya, kes tinggal lebih masa ini kena buka kertas siasatan dan mesti didakwa.

“Kompaun ini hanya bagi mereka (warga asing) yang tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai, di sini hari ini.

Menurut beliau, ia juga tertakluk kepada alasan diberikan yang disifatkan munasabah.

“Kadang-kadang 90 hari ini sebab mereka sakit, memang tak boleh balik. Kadang-kadang mereka terlibat kemalangan, bencana alam seperti banjir sedangkan mereka sepatutnya sudah tinggalkan negara. Itu perkara-perkara di luar kawalan.

“Jadi dalam kategori di mana mereka tinggal lebih masa akibat alasan munasabah, kita kenakan kompaun, asalkan tidak melebihi 90 hari,” ujarnya.

Jelasnya, bagi kesalahan terlebih masa antara satu hingga 30 hari, kompaun yang dikenakan adalah RM30 sehari sehingga maksimum RM900.

“Sementara bagi yang memasuki hari ke-31 hingga ke-60, kompaun dikenakan secara automatik sebanyak RM1,000. Bagi tempoh hari ke-61 hingga ke-90 pula dikompaun sebanyak RM2,000.

“Dengan tindakan kompaun ini, kita dapat cepatkan tempoh memproses yang biasanya ambil masa 14 hari, kali ini kita ambil masa sehari sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, seramai 35,225 pendatang asing tanpa izin ditahan di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 30 Ogos lalu kerana melanggar pelbagai peraturan imigresen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |