Wanita enggan pindah beg ancam buat pesawat terhempas

5 hours ago 5

NEW DELHI  – Seorang doktor wanita menjerit kepada penumpang dan kru pesawat Air India semasa penerbangan dari Bengaluru ke Surat dalam pergaduhan tentang tempat duduk hadapan, lapor portal berita The Sun semalam.

Menurut portal berita Indian Express, Dr. Vyas Hiral Mohanbhai, 36, telah dibawa keluar dari pesawat tersebut dan ditahan polis berikutan kejadian pada Selasa lalu.

Kejadian itu bermula apabila dia dilaporkan meninggalkan begnya di barisan hadapan pesawat sebelum menuju ke tempat duduknya iaitu 20 F.

Namun, apabila kru kabin meminta doktor tersebut menyimpan beg tersebut di dalam loker di atas tenpat duduk wanita berkenaan, dia menolak berbuat demikian, lapor saluran berita NDTV.

Sebaliknya, doktor tersebut meminta kru kabin menghantar beg itu kepadanya, menyebabkan berlaku pergaduhan.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila dia didakwa menjerit dan mengancam untuk membuatkan pesawat itu terhempas, media tempatan melaporkan.

Kejadian itu berlaku tidak lama selepas sebuah pesawat Air India yang menuju ke London, terhempas sejurus selepas berlepas dari Ahmedabad, India pada 12 Jun lalu. 

Insiden itu mengorbankan 241 penumpang dan anak kapal, tetapi seorang penumpang lelaki, Vishwash Kumar Ramesh yang duduk di kerusi hadapan, 11A terselamat. 

Ramesh, 40, yang duduk di sebelah kecemasan, berjalan meninggalkan bangkai pesawat itu dan hanya cedera  ringan. 

Kini, penumpang-penumpang meminta daripada ejen pelancongan untuk duduk di tempat duduk yang sama setelah mendapati Ramesh selamat dalam nahas pesawat tersebut.

“Selepas melihat Ramesh (selamat), saya mahu berada di sebelah pintu kecemasan,” kata seorang lelaki, Rajesh Bhagnani, demikian menurut akhbar The Times of India. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |