KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran sijil pernikahan palsu antara dirinya dengan seorang kerabat diraja di TikTok pada Februari lalu.
Tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran menerusi akaun TikTok iaitu video gambar sijil pernikahan palsu kerabat diraja itu dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 25 Februari lalu.
Hantaran video itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada 26 Februari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan berhubung jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis sekali sebulan sehingga kes selesai selain mengarahkan tertuduh perlu melantik peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pada 22 Mei lalu, Mahkamah Sesyen sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Persana selepas wanita itu gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.
Permohonan waran tangkap itu sebelum ini, dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Pada Mac lalu, dia telah ditahan untuk disoal siasat oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu tetapi telah dibebaskan selepas itu. – KOSMO! ONLINE