[VIDEO] ‘Tujuh hari terasa panjang, banyak ruang kosong’

7 hours ago 8

PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkongsi perasaan rindu kepada suaminya, Allahyarham Datuk Kamil Misuari yang meninggal dunia seminggu lalu.

Nancy menerusi hantaran Facebook berkongsi video kenangan bersama arwah suami berserta luahan rindu terhadap Allahyarham.

“Hari ini genap tujuh hari sejak pemergian suami tercinta, Allahyarham Datuk Kamil bin Misuari. Tujuh hari yang terasa begitu panjang. Masih banyak ruang yang terasa kosong, masih banyak kebiasaan yang mengingatkan saya kepada arwah.

“Lebih 40 tahun kami melayari kehidupan bersama. Melalui suka dan duka, jatuh dan bangun, beliau sentiasa berada di sisi saya dengan kasih sayang, kesabaran dan sokongan yang tidak pernah berbelah bahagi.

“Kehilangannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Saya percaya setiap pertemuan pasti ada perpisahannya. Apa yang tinggal kini ialah doa, kenangan dan segala kebaikan yang pernah ditinggalkan oleh Allahyarham sepanjang hayatnya,” katanya.

Nancy turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai, rakan-rakan serta semua yang hadir menziarahi, mengirimkan ucapan takziah dan mendoakan Allahyarham Kamil.

Katanya, setiap doa dan kata-kata yang diberikan menjadi sumber kekuatan buat beliau dan seluruh keluarga dalam menghadapi ujian tersebut.

“Saya akan terus melangkah dengan tabah, membawa amanah dan meneruskan perjuangan, sebagaimana yang sentiasa didorong dan didoakan oleh Allahyarham sepanjang beliau bersama saya.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa suami, Allahyarham Datuk Kamil bin Misuari, melapangkan kuburnya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” ujarnya.

Pada 18 Jun lalu, Nancy memuat naik satu kenyataan pada akaun media sosialnya berhubung pemergian Allahyarham Kamil. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |