PETALING JAYA – Tindakan licik seorang remaja perempuan cuba menipu pembelian tambah nilai Touch ‘n Go berjaya dikesan rakaman televisyen litar (CCTV) tertutup sebuah premis di Pasir Puteh, Kelantan.
Menerusi hantaran oleh pemilik akaun @Rajaazam130, rakaman itu menunjukkan remaja tersebut datang ke premis itu dan berpura-pura ingin membeli tambah nilai dengan jumlah besar.
Selepas juruwang menyerahkan resit, remaja itu secara senyap didakwa merakam nombor pin tanpa membuat pembayaran dengan alasan tertinggal wang.
Bagaimanapun dalam hantaran yang lain, CCTV kedai tersebut sempat merakam remaja berkenaan bersama adiknya melarikan diri bersama kereta berwarna putih yang parkir di hadapan kedai tersebut.
“Tolong sebarkan, dia (remaja perempuan) datang berpura-pura nak beli Touch ‘n Go, kemudian rakam video nombor PIN secara senyap dan beritahu duit tertinggal. Kedai saya telah rugi sebanyak RM300,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tinjauan di ruangan komen turut mendapati ramai yang mengakui pernah mengalami kejadian sama, dipercayai melibatkan remaja perempuan tersebut.
“Minggu lepas viral dia buat kat kedai kawasan gua musang, rugi RM400,” kata @Hawaakira.
“Memang Kelantan tapi budak tu orang utara, dia buat kerja merata. Pernah jadi di Terengganu dan keliling negeri, dia tak buat sekitar rumah dia supaya mudah lari jauh,” komen @Sarahadriana.
“Ya allah kau kan dik RM50 Touch ‘n Go. Akak nak beli yang RM10 pun empat kali fikir, kesudahannya tak beli,” ujar @imahhelper. -KOSMO! ONLINE
@amarrrr2018 Membalas kepada @amxrul112 ♬ bunyi asal – Raja Azam130