PETALING JAYA – “Ya Allah, kenapa semua ini jadi dekat aku.”
Demikian perkongsian oleh seorang penghantar makanan yang berkongsi pengalaman menyayat hati ketika menghantar pesanan kepada seorang wanita yang tidak mempunyai wang untuk membayar makanan tersebut.
Menerusi satu hantaran di Facebook, lelaki itu memaklumkan pesanan tersebut dibuat secara tunai semasa penghantaran (COD), namun setibanya di lokasi, wanita berkenaan memohon maaf kerana tidak sedar bahawa dia tiada wang dalam dompet.
Lebih mengejutkan, apabila diminta membuat bayaran melalui kod QR atau pindahan bank, wanita itu turut memaklumkan dia tidak mempunyai wang langsung.
“Aku sampai dekat lokasi itu terus bagi makanan, tiba-tiba kakak itu minta maaf sebab dia tak perasan tidak ada duit dalam wallet (dompet). Aku minta bayar pakai QR atau bank pun dia cakap tiada duit,” tulisnya menerusi hantaran berkenaan.
Namun, situasi bertukar pilu apabila penghantar makanan itu terdengar suara seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak wanita tersebut memanggil ibunya dan bertanya sama ada makanan yang dipesan sudah sampai.
Difahamkan, makanan itu dipesan khusus untuk anaknya yang sedang kelaparan, walaupun wanita berkenaan sendiri tidak mempunyai wang untuk membayarnya.
“Anak perempuan wanita tersebut tiba-tiba memanggil dan bertanya tentang makanan yang dipesan. Ya Allah, time (waktu) itu aku rasa nak gugur jantung menggeletar lulut aku,” ujarnya.
Tersentuh dengan situasi tersebut, lelaki itu akhirnya memutuskan untuk menghalalkan makanan berkenaan dan tidak meminta sebarang bayaran daripada wanita itu.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai netizen tersentuh hati dan memuji keikhlasan penghantar makanan itu yang sanggup membantu meskipun dalam keadaan tidak dijangka.
“Betul itu, bila kita ikhlas pasti ada gantinya. Percaya pada rezeki yang Allah sudah atur. Setiap orang ada hak ke atas hasil titik peluh kita. Mantap ketua jadi contoh pada orang baru,” kata Poklai Ilut.
“Semoga Tuhan terus menggantikan dengan rezeki yang lebih besar untuk abang dan keluarga,” komen Maksu Syima.
“Allahuakbar, sedihnya. Semoga dilipat gandakan rezeki buat kamu dan keluarga,” balas Nur Sharifah Adawiyah. -KOSMO! ONLINE