[VIDEO] Penumpang tampar isteri ketika pertikai bayaran tambang RM7


13 hours ago 8

PETALING JAYA – Seorang pemandu e-hailing mendakwa berdepan situasi mengejutkan apabila seorang penumpang lelaki didakwa menampar isterinya sendiri ketika berlaku pertikaian mengenai bayaran tambang hanya RM7.

Menerusi video rakaman kamera papan pemuka yang dimuat naik di akaun Thread @stanleyloi, kejadian itu berlaku pada pukul 2.42 petang, semalam.

Insiden itu difahamkan bermula apabila pemandu tersebut menghantar pasangan tersebut ke destinasi mereka.

Menurutnya, tambang perjalanan ketika itu berjumlah RM7, namun penumpang yang dipercayai warga asing terbabit menghulurkan wang RM50 sedangkan dia tidak mempunyai baki kecil untuk dipulangkan.

“Saya cakap saya tak ada duit kecil dan tanya sama ada dia ada Touch ‘n Go (TNG), tapi dia kata baki tak cukup.

“Saya dah fikir kalau tak boleh selesai, saya nak halalkan sahaja tambang itu,” katanya.

Tambahnya, dia kemudian menasihati penumpang terbabit supaya menyediakan wang kecil bagi memudahkan urusan pembayaran tambang pada masa akan datang.

“Saya cakap baik-baik, kalau tambang RM7 mungkin boleh sediakan RM10 atau RM20 supaya tak susahkan pemandu. Tapi dia terus marah serta mengamuk dan tanya ‘adakah saya tak ada duit nak bayar?’,” katanya.

Menurut pemandu itu, lelaki berkenaan mendakwa isu wang baki adalah masalah pemandu dan bukan tanggungjawab pelanggan untuk menyediakan wang kecil.

Dakwanya lagi, keadaan menjadi lebih tegang apabila penumpang terbabit yang juga sedang memangku bayinya secara tiba-tiba meninggikan suara sebelum isterinya cuba menenangkan keadaan.

“Bila isterinya cuba masuk campur untuk reda keadaan, dia terus maki dan tampar isterinya. Masa itu saya memang hilang sabar. Nak bergaduh itu satu hal, tapi kenapa sampai pukul isteri?” katanya.

Menerusi video rakaman tersebut, pemandu itu dilihat tudak dapat menahan kemarahannya sebelum mengarahkan lelaki terbabit keluar dari kenderaannya.

Setelah pertengkaran berlanjutan sambil ditenangkan si isteri, pemandu tersebut bercadang membuat laporan kepada pihak Grab berhubung insiden tersebut.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai pengguna media sosial yang rata-rata mengecam tindakan lelaki berkenaan, khususnya kerana melibatkan keganasan terhadap wanita.

“Lega sangat anda (pemandu) bertegas untuk lindungi wanita itu. Tu depan orang dah baran macam tu, kalau di belakang macam manalah,” kata seorang pengguna.

“Kasihan tengok bayi tu, dapat bapa baran macam tu. Tengok muka dah tahu warga asing, naik ‘tocang’ pula dia dengan orang Malaysia,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |