[VIDEO] Nasi lemak ‘ngam’ tekak orang Amerika

4 hours ago 4

PETALING JAYA – Nasi lemak iaitu makanan tradisi popular rakyat Malaysia turut mendapat tempat dalam hati kalangan rakyat Amerika Syarikat (AS) apabila rata-rata mereka mengatakan ia hidangan yang sedap.

Maklum balas positif itu dikongsikan oleh pempengaruh asal Malaysia, Logesh Kumaar yang kini menetap di San Francisco, California bersama isteri, Rachel iaitu rakyat AS serta dua anak mereka, Zaden dan Kyren menerusi video dimuat naik pada TikTok.

Pada video tersebut, Logesh menyediakan hidangan nasi lemak untuk 200 orang sempena festival makanan budaya anjuran sekolah anaknya di San Francisco.

Sepanjang temu bual Logesh bersama pengunjung di gerainya, rata-rata mengatakan nasi lemak adalah makanan tradisi yang sedap, terbaik dan ada juga memaklumkan ia hidangan kegemaran mereka.

Malah, ada pengunjung yang datang dua kali di gerainya bagi mengambil menu nasi lemak tersebut.

Selain itu, ada juga yang datang sekali lagi berserta cawan kertas diambil dari gerai yang menghidangkan makanan tradisi Filipina untuk mengisi sambal nasi lemak di gerai Logesh dan isteri.

Dalam ruangan komen, ramai rakyat Malaysia memuji usaha Logesh dan keluarganya memperkenalkan nasi lemak kepada rakyat AS selain mencadangkan lelaki tersebut dijadikan sebagai ‘duta’ mempromosi makanan Malaysia.

“Bayangkan dia orang rasa nasi lemak yang Logesh buat pun dah sedap. Apatah lagi kalau nasi lemak yang dia orang makan di Malaysia. Apa yang anda buat terbaik,” komen Mohd_Ridduan pada TikTok.

“Terima kasih Logesh dan keluarga promosi Malaysia, berkongsi hidangan lazat kepada orang lain,” kata Joey Azrul.

“Kerajaan patut lantik Logesh sebagai ‘duta’,” komen Almie Hazrin. – KOSMO! ONLINE

@kumaarfamily What Americans think of Malaysian Nasi Lemak! #nasilemak #foodies #malaysianfood #malaysia #kumaarfamily ♬ Married Life (From “Up”) – Gina Luciani
Read Entire Article
Pertanian | | | |