PETALING JAYA – Tindakan sebuah akaun media sosial memuat naik video lama insiden pertembungan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil mengaitkannya dengan kemalangan yang meragut nyawa seorang penyanyi antarabangsa, Oliver Tree mengundang kecaman rakyat Malaysia.
Menerusi video yang tular di platform Threads, rakaman pertembungan dua helikopter yang berlaku di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada April 2024 disunting bersama beberapa klip lain.
Video tersebut dipersembahkan seolah-olah mempunyai kaitan dengan nahas helikopter yang didakwa melibatkan penyanyi Amerika Syarikat, Oliver Tree di Brazil.
Susulan itu, rakyat Malaysia yang menyedari rakaman pertama dalam video tersebut sebenarnya adalah insiden tragis TLDM menggesa pemilik akaun memadam segera hantaran yang menyebarkan maklumat salah tersebut.
“Bro, video pertembungan helikopter itu daripada insiden lain dan langsung tiada kaitan dengan penyanyi ini,” tulis seorang pengguna.
“Video itu adalah rakaman nahas helikopter TLDM di Malaysia. Mengapa anda menyebarkan maklumat palsu?,” komen pengguna lain.
Malah, ada yang menyifatkan tindakan menggunakan rakaman kemalangan itu sebagai tidak sensitif terhadap keluarga mangsa tragedi berkenaan.
“Kenapa ada video insiden helikopter bertembung tu? Kalau keluarga arwah tengok mesti sedih,” komen seorang pengguna lain.
Berdasarkan semakan, rakaman yang digunakan itu adalah video sebenar tragedi pertembungan dua helikopter TLDM di Lumut pada 23 April 2024 yang mengorbankan kesemua 10 kru di dalam kedua-dua pesawat.
Sebelum ini media antarabangsa melaporkan Oliver Tree yang terkenal menerusi lagu Life Goes On, Miss You dan Alien Boy dilaporkan maut dalam nahas membabitkan dua helikopter yang bertembung di udara di Rio de Janeiro, Brazil pada Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, kedua-dua pesawat dilaporkan bertembung ketika terbang kira-kira 90 meter di udara sebelum terhempas, mengorbankan kesemua enam individu yang berada di dalamnya termasuk Tree, seorang YouTuber Argentina dikenali sebagai Gaspar Prim atau Gaspi serta dua juruterbang. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
8














































