JOHOR BAHRU – Lelaki yang ditanduk kerbau korban dalam insiden di kawasan Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram kelmarin tidak trauma dengan apa yang berlaku meskipun mengalami kecederaan patah tulang rusuk.
Mangsa, Shaifirol Shahlan, 45, berkata, dia yang dibenarkan pulang dari hospital malam tadi akan terus membantu aktiviti korban di kampung berkenaan.
Bercerita lanjut katanya, pada hari kejadian dia hadir ke pusat penyembelihan itu kira-kira pukul 1 tengah hari untuk melihat upacara korban sebelum diserang kerbau yang tiba-tiba naik minyak.
“Kejadian berlaku sekelip mata, saya memang tak sempat lari. Saya datang cuma nak tengok sahaja sebab tiap-tiap tahun memang orang agih daging korban.
“Masa kejadian saya nampak kerbau tiba-tiba meluru ke arah saya. Saya cuba panjat tali untuk elak ditanduk, tetapi tak lepas sebelum kerbau itu lambung saya sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Batu 20 Kampung Sungai Tiram di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Shaifirol mengalami patah tiga tulang belakang selain melecet pada badan dan tangan akibat terkena tali.
Katanya, kerbau itu yang kelima yang hendak disembelih dan tidak pasti kenapa kerbau berkenaan bertindak ‘naik minyak’.
“Semuanya berlaku terlalu pantas. Selepas kena tanduk dan dilambung, nafas saya jadi pendek, tidak boleh bernafas normal. Sebaik sampai hospital doktor buat imbasan dan beri oksigen baru nafas kembali seperti biasa.
“Saya juga diberi cuti sakit selama dua minggu. Mujur kecederaan patah tulang itu tidak terlalu teruk dan doktor kata boleh sembuh sendiri.
“Cuma sekarang saya tidak boleh tidur baring seperti biasa dan kena duduk di kerusi tinggi supaya mudah nak bangun,” katanya yang bekerja sebagai penyelia ladang.
Bapa kepada tiga orang anak itu turut menasihatkan mana-mana pihak yang membuat aktiviti korban supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengutamakan keselamatan agar kejadian menimpanya tidak berulang.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki ditanduk seekor kerbau ketika proses korban dijalankan di kawasan berkenaan.-KOSMO! ONLINE

8 hours ago
9













































