[VIDEO] GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA dari Istanbul

4 hours ago 2

SEPANG – Seramai 28 aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam ini menerusi penerbangan Emirates Airlines EK342.

Ketibaan rombongan itu yang turut disertai Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby disambut ahli keluarga dan penyokong yang mula berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 8 malam tadi.

Terdahulu, kesemua aktivis itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye kira-kira pukul 2.21 pagi (waktu tempatan) dan kemudiannya transit di Dubai, Emeriah Arab Bersatu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, seorang peserta Malaysia iaitu Razman Mat Ali tidak pulang ke Malaysia hari ini ekoran masih lagi dirawat di Istanbul, Turkiye ekoran menghidap ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor ekoran ditumbuk tentera Israel.

Aktivis Malaysia yang menyertai GSF 2.0 tiba di KLIA menerusi penerbangan Emirates Airlines malam ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Hadir sama menyambut kepulangan aktivis Malaysia ialah Menteri Besar Selangor yang juga Menteri Penaung Misi Global Sumud Flotila, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, Sumud Nusantara Command Center mengesahkan kesemua 50 kapal misi Global Sumud Flotila (GSF) yang membawa 428 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia telah diculik Israel.

Kesemua aktivis kemanusiaan dari 40 buah negara itu dipintas secara haram dan dikepung oleh tentera Rejim Zionis Israel (IOF) di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Kumpulan aktivis itu turut ditahan di ‘penjara atas air’ sebelum di bawa ke Ashdod, Israel untuk proses dokumentasi dan pengusiran.

Mereka kemudiannya diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon ke Istanbul menerusi penerbangan khas Turkish Airlines selepas dibebaskan daripada tahanan di Pelabuhan Ashdod. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |