[VIDEO] Empat maut kereta dihempap treler terbabas di Bukit Tinggi

5 hours ago 6

BENTONG – Empat maut selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler muatan habuk kayu di Kilometer 43 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Bukit Tinggi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu menyaksikan kereta jenis Honda City remuk teruk selepas ditindih treler muatan kayu.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah A.Halim Hasoon,55; Rozita Buang,68; Norbahyah A.Halim, 26 dan seorang kanak-kanak perempuan Nayla Afya Aizat Faizal yang berumur setahun.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku kerika lori treler dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan manakala kereta menuju ke arah yang sama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan menuruni bukit dan berselekoh lori tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik ke sebelah kiri jalan dan menghempap sebuah kereta yang berada di lorong kiri.

“Akibat kemalangan pemandu kereta dan tiga penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggul,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu lori mempunyai 15 rekod saman dan polis telah mengambil sampel darah pemandu lori bagi tujuan analisis toksikologi.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.25 petang bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

Katanya operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit juga dibantu oleh Bomba Elektriksolar Janda Baik dan sebuah jentera berat daripada pihak Lebuhraya untuk mengangkat treler bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang disahkan meninggal diserahkan kepada pihak polis manakala mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,”ujarnya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan Laluan KLK di Kilometer 37 hingga Kilometer 88 menjadi antara laluan paling berbahaya di Malaysia dengan rekod purata empat kemalangan dilaporkan berlaku setiap hari.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |