[VIDEO] ‘Boleh selesai satu hari rupanya mendapan di Gerik’

7 hours ago 3

PETALING JAYA – Tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) membaik pulih mendapan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli mendapat perhatian orang ramai di media sosial.

Perkongsian seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Fazel memaparkan kerja-kerja penurapan semula sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Difahamkan, pembaikan itu dilakukan susulan beberapa insiden kemalangan termasuk tragedi yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta kemalangan melibatkan lori yang meragut nyawa seekor anak gajah baru-baru ini.

“Aduan rakyat berhubung jalan mendap di JRTB telah mendapat perhatian JKR. Terima kasih pihak JKR,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Tinjauan Kosmo! Di ruangan komen kebanyakkannya bersyukur dengan tindakan pembaikan segera tersebut, namun tidak kurang juga yang meluahkan rasa kecewa kerana tindakan hanya diambil selepas insiden tragis berlaku.

“Selepas ada kematian yang ramai baru nak buat. Sebelum ini semua orang complain (mengadu) tidak dihiraukan,” komen Wan274.

“Begini rupanya cara mereka bekerja. Hanya bekerja dengan pantas apabila ada insiden besar berlaku. Walhal, JKR ini terdiri daripada golongan profesional untuk memantau dan menyelenggara infrastruktur,” kata Maczu.

“Sudah lebih daripada setahun jalan itu macam itu. Akhirnya di turap juga. Rasanya kalau tidak berlaku kemalangan itu, jalan itu pun belum dibaiki lagi,” balas Weedaad.

Dalam pada itu, orang ramai turut berterima kasih atas tindakan segera yang diambil pihak berkuasa, sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya.

“Alhamdulillah, kini baharu ada perubahan setelah komen dan aduan dari rakyat,” ujar Suhaimi Wagimin.

“Terima kasih pihak kerajaan dan JKR kerana dengar suara rakyat. Harap semuanya dipermudahkan,” kata Zul. -KOSMO! ONLINE

@fabiaaz91Aduan rakyat berhubung jalan mendap di JRTB telah mendapat perhatian JKR. TERIMA KASIH.

♬ original sound – Fazel

Read Entire Article
Pertanian | | | |