[VIDEO] Bertahun tinggalkan Malaysia, Dickson Nwakaeme masih ingat Negaraku

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Bekas penyerang Kelantan, Dickson Nwakaeme menerima pujian orang ramai apabila masih boleh mengingati lagu Negaraku, biarpun telah bertahun-tahun meninggalkan Malaysia.

Menerusi satu video dimuat naik pada TikTok Akademi Kelantan (Pagero JR), Nwakaeme dilihat bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku berdasarkan gerak geri mulutnya sebelum bermula perlawanan persahabatan DUO Cup Ex Treble Kelantan vs Ex Selangor malam tadi.

“Import paling padu. Bertahun tinggalkan Malaysia, tetapi masih lagi ingat lagu kebangsaan negara kita,” menurut kapsyen yang dimuat naik.

Perlawanan persahabatan itu berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menampilkan pertemuan antara bekas pemain Kelantan serta Selangor yang pernah menjadi seteru sewaktu ketika dahulu.

Dalam pada itu, ramai peminat bola sepak memuji Nwakaeme kerana masih boleh menyanyikan lagu Negaraku selain ada yang mengimbas kembali kehebatannya sewaktu beraksi dengan skuad Kelantan.

“Import ni lah satu-satunya boleh nyanyi lagu Negaraku. Kemah Nwakaeme,” komen pengguna TikTok, PEStige.

“Ore Kelate panggil Dickson Nwamuso dio,” kata afnazulkifli73 mengenai panggilan peminat bola sepak Kelantan kepada Nwakaeme.

“Terbaik lah Dickson, ambo bangga dengan demo,” komen WanTiara.

“Zaman stadium macam ni kenangan paling syok. Ni yang mahal bagi aku, mungkin murah bagi orang lain. Terbaik,” kata imanida.

“Kenangan betul ‘orang besi’ ni,” kata AedyLC merujuk panggilan tersebut kepada Nwakaeme.

Pada aksi DUO Cup Ex Treble Kelantan vs Ex Selangor, skuad Trebel Kelantan berjaya menumpaskan Legenda Selangor dengan keputusan menang tipis 4-3 di hadapan lebih 20,000 penonton.

Sebelum ini, Nwakaeme menyertai kancah Liga Malaysia (Liga M) pada 2013 bersama skuad Kelantan dan terus menjadi antara penyerang digemari di Kota Bharu.

Pemain itu berjaya membantu skuad Kijang Emas menjuarai Piala FA pada musim 2013 dan antara aksi terbaiknya ialah ketika membawa Kelantan ke final Piala FA 2013.

Sepanjang Nwakaeme beraksi di Liga M, penyerang berasal dari Nigeria ini diberi gelaran orang besi kerana faktor fizikal dan kekuatan yang dimilikinya.

Seterusnya, Nwakaeme menyertai Tok Gajah serta mencipta legasi dengan membantu Sri Pahang muncul antara pasukan terbaik dalam bola sepak tempatan dengan membantu menjulang Piala Malaysia dan Piala FA. – KOSMO! ONLINE

@officialpagerojr @bekki mobile shopping @DUO Sports Inc. @Pikbum ♬ original sound – AKADEMI KELANTAN (PAGERO JR)
Read Entire Article
Pertanian | | | |