PETALING JAYA – Pelancong Malaysia berdepan kesesakan hampir enam ke tujuh jam untuk melepasi urusan imigresen dan kastam di sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam malam tadi, berikutan peningkatan kenderaan di kawasan berkenaan.
Menerusi perkongsian pengguna Thread, ramai berkongsi pengalaman berdepan kesesakan tersebut dan mereka menunggu dari petang hingga malam untuk melepasi pintu masuk sempadan dan pulang ke Malaysia.
Peningkatan jumlah kenderaan pelancong Malaysia ini susulan cuti hujung minggu lalu, disusuli cuti umum hingga hari ini selain cuti persekolahan.
“Jam 11.50 malam ya Allah dari pukul 5 petang sampai 11.30 malam baru sampai pintu masuk Sadao, tu pun suruh kawan turun cop. Pertama kali pecah rekod enam jam lebih hadap jem (sesak) dari Lotus Danok tu dah tak bergerak kereta dekat sejam lebih. Alhamdullilah, dah selamat sampai rumah di Kangar, Perlis. Ada yang pagar tutup tak sempat keluar ka?,” kata pengguna Thread Gadis Pelangi1994 malam tadi.
“Yang mana keluar tu baik korang cari hotel saja lah. Lagi tiga jam nak tutup, tak sempat dah nak keluar,” kongsi Mysaramanje pada Thread malam tadi.
“Saya dari pukul 3 petang (semalam) sampai lah sekarang masih dekat sempadan Danok. Ingatkan sempat lepas keluar, memang tak sempat dah hujung-hujung pagar tutup. Kena tunggu sampai pagi. Korang yang mana nak keluar hari ni baik keluar awal yang masih dekat Hatyai tu,” kongsi pengguna Thread M. Faruqkhan.
“Sebelum ni pergi Thailand paling lama selesai dua-dua imigresen tiga jam saja. Kali ni enam hingga tujuh jam baru selesai dekat imigresen. Taubatlah lepas ni dah tak nak masuk Thailand cuti umum panjang,” kata Umiaae.
“Dari Lotus Danok ke depan pintu sempadan pukul 4 petang hingga 10.23 malam. Enam jam tersekat mat,” komen kongsi pengguna Thread Ainashhrr.
Sementara itu, seorang pengguna Thread Cnt Insuran Thailand turut memuat naik gambar pada pagi ini memaparkan deretan kenderaan rakyat Malaysia beratur di pintu masuk sempadan tersebut.
“Pukul 7.30 pagi di sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam. Yang nak keluar pagi ni, semoga urusan semua dipermudah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
7









![[VIDEO] Jeti Pangkor sesak, ‘berkicap’ tunggu feri nak balik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-02-at-2.56.05-PM-e1780384202682.jpeg)































