TEHRAN – Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu pejabat stesen televisyen milik kerajaan, Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) di tengah Tehran semalam, lapor portal berita Arab News.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan peluru berpandu mengenai bangunan IRIB ketika sebuah program disiarkan secara langsung oleh seorang pembaca berita bernama Sahar Emami.
Rakaman sama memaparkan studio itu diselubungi debu dan asap tebal ketika pembaca berita terbabit cuba melarikan diri untuk mencari tempat berlindung.
Media kerajaan mengesahkan serangan itu dan menyalahkan Rejim Zionis.
Agensi berita AFP melaporkan bahawa serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang.
“Tiga pekerja stesen televisyen terbunuh, manakala beberapa lagi cedera dalam serangan Israel semalam,” kata IRIB tanpa menyatakan bilangan orang yang dimasukkan ke hospital.
Saluran berita Iran International yang berpangkalan di London melaporkan, IRIB telah menyambung semula siaran dari studio lain bersama Emami selepas serangan tersebut.
Serangan itu dilancarkan selepas Menteri Pertahanan Israel, Katz memberi amaran bahawa saluran media Iran akan menjadi sasaran mereka.
“Megafon propaganda dan hasutan Iran hampir lenyap,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin sambil menambah bahawa penduduk berhampiran digesa untuk berpindah.
“Dalam beberapa jam akan datang, (tentera Israel) akan beroperasi di kawasan itu seperti yang berlaku sejak beberapa hari lalu di seluruh Tehran untuk menyerang infrastruktur ketenteraan rejim Iran,” demikian menurut tentera Israel di laman X.
Serangan itu membedil daerah Tehran yang menempatkan beberapa pejabat diplomatik dan antarabangsa termasuk kedutaan Qatar, Oman dan Kuwait serta bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan biro AFP. – AFP/AGENSI
@shaunking They specialize in bombing and killing journalists and civilians. #iran #israel #gaza ♬ original sound – Shaun King