Usaha perkasa Mahkamah Syariah tidak pernah mengancam hak agama lain – Anwar

10 hours ago 10

PUTRAJAYA – Sebarang usaha memperkasa institusi Mahkamah Syariah termasuk cadangan penambahbaikan terhadap Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak pernah bertujuan menjejaskan hak penganut agama lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, matlamat utama pindaan berkenaan sejak ia diperkenalkan pada akhir 1980-an adalah bagi mengukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal ehwal berkaitan umat Islam, tanpa mengganggu urusan agama bukan Islam.

“Kita tidak sama sekali mahu melanggar hak bukan Islam. Apa yang kita hendak tegakkan ialah keadilan dan tidak menafikan hak bukan Islam dalam urusan agama mereka.

“Mahkamah sivil tidak ada hak untuk mengganggu urusan Mahkamah Syariah mengenai hukum Islam dan masyarakat Islam. Bagi saya, itu sangat adil,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Peguam Syarie 2026 di sini hari ini.

Katanya, beliau sendiri pernah memberi jaminan kepada pemimpin bukan Islam ketika pindaan Perkara 121(1A) dibawa supaya ia tidak disalah tafsir sebagai usaha menjejaskan hak masyarakat bukan Islam.

Anwar berkata, beliau menolak dakwaan kononnya kerajaan Perpaduan mengabaikan agenda memperkasa institusi Islam.

Ini kerana katanya, setiap cadangan berkaitan Mahkamah Syariah yang dibawa ke Jemaah Menteri diberikan pertimbangan sewajarnya tanpa dibantah oleh menteri bukan Islam.

“Sepanjang lebih tiga tahun saya menjadi Perdana Menteri, belum ada satu pun cadangan berkaitan penambahan peruntukan atau kedudukan Mahkamah Syariah yang dibantah oleh mana-mana menteri, termasuk menteri bukan Melayu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi memperkasakan institusi kehakiman syariah, beliau mencadangkan satu sesi perbincangan khas diadakan melibatkan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, ketua-ketua hakim Mahkamah Syariah serta wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

“Sesi ini penting bagi membolehkan kerajaan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh pengamal undang-undang syariah dalam meningkatkan keupayaan serta martabat Mahkamah Syariah.

“Pandangan-pandangan yang dirasakan perlu dan harus diberi perhatian, saya akan beri keutamaan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |