UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU16

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan pendiriannya untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Parti itu menolak dakwaan bahawa usaha mempertahankan mandat di negeri tertentu merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan.

Ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung sebentar tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU15 berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu.

“UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk selepas PRU15 sehingga pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Pada masa sama, beliau menjelaskan pembentukan Kerajaan Negeri Johor berlaku sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.

Beliau berkata, UMNO juga berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan yang tarikhnya akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“MKT berpandangan keputusan UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan mandat negeri bukan satu pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan seperti didakwa segelintir pihak.

“Sebaliknya, ia merupakan amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan dengan menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi berkata, UMNO terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi menjamin kestabilan politik negara serta kesejahteraan rakyat.

Namun katanya, sebarang bentuk kerjasama perlu berasaskan prinsip keikhlasan dan kepercayaan antara pihak terlibat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |