BERLIN – Presiden Volodymyr Zelensky menyatakan bahawa Ukraine mahukan jaminan keselamatan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh minimum 20 tahun sebelum ia menandatangani perjanjian damai secara bermaruah, lapor akhbar The Guardian.
Kenyataan itu dibuat pada sidang kemuncak keselamatan di Munich, Jerman semalam, menjelang rundingan dengan Russia dan AS yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Zelensky berkata, AS telah menawarkan jaminan keselamatan selama 15 tahun tetapi Ukraine mahukan minimum 20 tahun.
Turut dituntut adalah perjanjian sah di sisi undang-undang dan menetapkan bantuan khusus yang akan disediakan oleh Washington kepada pasukan jaminan semula Eropah yang dirancang ditempatkan di Ukraine sekiranya berlaku perjanjian damai.
Selain itu, Zelensky menuntut tarikh yang jelas untuk Ukraine dibenarkan menyertai Kesatuan Eropah (EU), dengan beberapa pegawai EU mencadangkan tarikh seawal 2027.
“Saya berharap mesyuarat trilateral pada minggu depan akan menjadi serius, substantif dan berguna untuk kita semua tetapi secara jujurnya, kadangkala pihak-pihak lain bercakap tentang perkara berbeza.
“Amerika sering bercakap kepada topik konsesi dan terlalu kerap konsesi ini dibincangkan dalam konteks Ukraine, bukan Russia,” kata Zelensky.
Isu kekecewaan Eropah terhadap keengganan AS untuk menyatakan jaminan keselamatan kepada Ukraine sekiranya berlaku perjanjian damai, kekal sebagai ‘luka’ terbesar dalam hubungan yang teruk antara Washington dan EU.
Turut menjadi topik utama adalah keperluan jaminan untuk dinyatakan sebelum perjanjian Ukraine-Russia ditandatangani.
Zelensky sebelum ini dimaklumkan oleh AS bahawa pengundurannya dari Donbas akan membawa kepada keamanan segera, namun beliau menolak konsesi tersebut kerana wilayah itu menempatkan rakyat Ukraine. – AGENSI

18 hours ago
6















![[VIDEO] Pasangan AS perkenal nasi lemak, teh tarik kepada anak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/TULAR-VIRAL-NASI-LEMAK.jpeg)

































