JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan masuk campur isu dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyaksikan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat keahlian serta-merta.
Beliau berkata, tumpuan diberikan untuk memperkuat jentera parti bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Biarkan dia orang bergaduh dahulu,” katanya ringkas selepas meninggalkan Majlis Perjumpaan Presiden PKR bersama PKR Johor di Pulai Spring Resort, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti tersebut.
Hamzah dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.
Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.
Ditanya mengenai keperluan ketua pembangkang Parlimen, Anwar enggan memberikan komen sebelum menaiki kereta untuk bergerak ke program seterusnya di Pontian.
Ditanya mengenai perjumpaan dengan PKR Negeri Johor, Anwar berkata, ia bertujuan bagi menyampaikan amanat gerak kerja yang akan digerakkan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada tahun ini.
“(Setiap cabang) Perlu kerja kuat, kerja kuat sebagai satu pasukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
6














![[VIDEO] Pasangan AS perkenal nasi lemak, teh tarik kepada anak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/TULAR-VIRAL-NASI-LEMAK.jpeg)


































