PETALING JAYA – Tanggapan segelintir masyarakat bahawa sumber air bawah tanah atau air boring adalah lebih ‘asli’ dan selamat untuk kegunaan harian adalah tidak tepat kerana ia berisiko mengandungi bahan tercemar yang menjejaskan kesihatan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), isu tersebut dibangkitkan berikutan ramai pengguna cenderung menilai kebersihan air hanya berdasarkan pandangan mata kasar semata-mata.
Menurut hantaran tersebut, air yang nampak jernih dan sejuk tidak bermakna ia bebas daripada kandungan mineral atau bahan kimia berbahaya yang mengikut struktur tanah serta batuan sesuatu kawasan.
“Air bawah tanah bukan automatik bebas risiko. Ia boleh mengandungi besi, mangan, aluminium, atau bahan lain pada paras yang tidak sesuai.
“Kalau sumber itu pula berhampiran kawasan tercemar, risiko pencemaran bakteria juga boleh berlaku,” tulis hantaran berkenaan.
PHM turut menegaskan bahawa antara kebimbangan utama terhadap penggunaan air boring yang tidak diuji adalah kehadiran bakteria seperti E. coli serta perubahan kekeruhan dan bau yang boleh memberi kesan buruk.
Selain itu, hantaran tersebut turut menyentuh kesan penggunaan air yang tidak dirawat ini terhadap golongan berisiko tinggi.
“Risiko lebih besar adalah kepada bayi, warga emas dan pesakit kronik. Sebuah kajian di Kelantan yang menilai ratusan telaga mendapati isu air bawah tanah bukan sekadar satu bahan sahaja,” jelas kenyataan itu lagi.
Hasil kajian tersebut melaporkan masalah ketara melibatkan besi, mangan dan pencemaran mikrobiologi, manakala kandungan aluminium dikesan tinggi pada sebahagian kecil sampel.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu cepat menganggap air boring selamat hanya kerana ia datang ‘dari bumi’ dan diingatkan supaya mengetahui kandungan sebenar di dalam air tersebut sebelum digunakan. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2















































