PERSARAAN bukan noktah buat jaguh berbasikal lebuh raya negara, Mohamed Harrif Saleh apabila pelumba Terengganu itu memberi bayangan untuk kembali berjuang tetapi dalam acara trek endurance dan berhasrat untuk bersaing menjelang Sukan SEA 2027 di Malaysia sekiranya diberi peluang.
Pelumba berpengalaman berusia 38 tahun itu, yang secara rasmi mengumumkan persaraan daripada kancah lebuh raya awal tahun ini, mengakui minatnya terhadap sukan berbasikal masih membara, khususnya bagi acara kegemarannya seperti scratch dan penyingkiran (elimination).
Harrif yang lebih mesra disapa Mamat berkata, meskipun sudah tidak lagi aktif secara profesional terutama acara lebuh raya, dia masih konsisten menjalani rutin latihan bagi mengekalkan tahap kecergasannya.
“Saya masih lagi menjalani latihan dan berlatih bersama pelumba muda sekarang, jadi kita tengok dulu macam mana. Mungkin saya tidak sepenuhnya bersara daripada lebuh raya kerana saya masih ada minat untuk beraksi dalam trek,” kata Hariff.
Bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu berkata, tumpuannya kini lebih terarah kepada membantu pelumba muda dalam sesi latihan harian dan bertindak sebagai rakan sparring.
Bagaimanapun, Harrif menegaskan pintu untuk kembali ke pentas antarabangsa tetap terbuka sekiranya prestasinya masih mampu memberi saingan kepada kelompok pelumba elit negara.
“Kalau diberi peluang, apa salahnya saya cuba lagi terutama dalam acara trek yang saya masih mampu beri saingan. Kalau saya masih boleh menang dan beri tekanan kepada pelumba muda, saya rasa tidak ada masalah untuk saya kembali berlumba,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai persaingannya dengan pelumba muda, Harrif menyasarkan penglibatannya itu nanti mampu menjadi pemacu semangat buat generasi basikal trek baharu supaya tidak terlalu selesa dengan kedudukan sedia ada.
“Saya masih mampu memberi 100 peratus dan bersaing dengan pelumba yang berlatih di velodrom setiap hari. Kita mahu beri tekanan kepada pelumba muda supaya mereka tidak terlalu selesa dalam zon selesa,” tambahnya lagi.

8 hours ago
7









![[VIDEO] ‘Santai’ bawa laju di LPT2 undang kecaman](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-04-at-6.18.28-PM.jpeg)





































