Berjalan kaki untuk perjalanan jarak dekat di George Town, elak sesak

16 hours ago 6

GEORGE TOWN – Projek-projek di jalan utama di negeri ini dihentikan sepanjang cuti persekolahan dan perayaan Tahun Baharu Cina sehingga Ahad ini bagi mengurangkan kesesakan teruk terutama di laluan kenderaan yang banyak.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pihaknya telah melancarkan Op Cuti Sekolah menerusi Pelan Pengurusan Trafik di lokasi-lokasi tumpuan pelancongan dan kawasan yang mengalami kesesakan serta halangan lalu lintas.

Menurutnya, ‘Ops Payung’ akan diaktifkan di lokasi tumpuan seperti di Jalan Penang, Bukit Bendera dan Ayer Itam.

“Antara langkah lain adalah menghentikan kerja-kerja pembinaan, projek di jalan-jalan utama dan pengorekan jalan pada musim cuti persekolahan, kecuali jika kecemasan.

“MBPP juga menyediakan pasukan penyelenggaraan yang bersiap siaga 24 jam untuk menjalankan pembaikan dan menangani sebarang masalah yang mungkin timbul,” katanya di sini, hari ini.

Selain daripada itu, katanya lagi, pihak MBPP, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan membuat rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan lain yang dikenal pasti mengalami kesesakan semasa cuti persekolahan.

Antara lokasi terbabit adalah di Persiaran Gurney, Pulau Tikus, kawasan di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Persiaran Bayan Indah (Queensbay Mall).

“Pengunjung yang mengunjungi Pulau Pinang juga diminta untuk meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kereta yang dibenarkan bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan halangan kepada pengguna lain.

“Pengapitan roda dan penundaan kenderaan akan dilaksanakan sekiranya berlaku gangguan kepada aliran lalu lintas.

“Orang ramai juga dinasihatkan menggunakan perkhidmatan bas awam, Bus Shuttle percuma, Rapid Penang on Demand, e-hailing atau berjalan kaki untuk perjalanan jarak dekat bagi membantu mengurangkan kesesakan,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan rata-rata pengguna kenderaan di negeri ini terutama yang menghala ke pusat bandar dan Seberang Perai terpaksa menempuh kesesakan panjang sejak Jumaat lalu susulan cuti sambutan Tahun Baharu Cina, Selasa ini.

Hasil tinjauan semalam mendapati, pengguna perlu mengambil masa kira-kira sejam untuk ke pusat bandar George Town dari Bayan Lepas, manakala tempoh 45 minit menuju ke Perai dengan melalui Jambatan Pulau Pinang.

Baru-baru ini, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata, kira-kira dua juta kenderaan dijangka akan melalui negeri ini sepanjang Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026, yang berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini.

Katanya, angka itu meningkat berbanding kira-kira 1.8 juta kenderaan pada Op Selamat tahun lepas, susulan pergerakan warga kota dan mereka yang menetap di bandar pulang menziarahi keluarga, selain ketibaan Ramadan. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |