‘Bila seorang sahaja mempertahankan sesuatu, akhirnya runtuh juga’

15 hours ago 6

PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, pelakon Nabila Huda mencuri perhatian ramai apabila meluahkan isi hati tentang keletihan jiwa, kerinduan serta luka mendalam yang dipendam sekian lama.

Ujar Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 41, luahan tersebut bukan bertujuan meraih simpati atau mencetuskan sensasi, sebaliknya sekadar luahan jujur seorang manusia yang mendambakan ketenangan hidup.

“Boleh tak saya nak luahkan sesuatu? Bukan untuk simpati. Bukan untuk kontroversi, apatah lagi publisiti.

“Saya cuma manusia biasa yang mahukan kebahagiaan dan kesederhanaan dalam hidup. Sejujurnya, saya penat. Penat dengan rasa yang mungkin takkan pernah hilang,” katanya dalam Instagram.

Tambah bintang filem Munafik itu, kesedihan dan kerinduan yang berlarutan membuatkan dirinya berasa seakan terperangkap dalam kitaran emosi yang sama saban tahun.

“Rasa sedih macam tak ada penghujung. Rasa rindu pula tak pernah habis. Hidup ini jadi rumit.

“Ramai suruh buang ego dan berdamai, tapi ini bukan soal ego. Bila hanya seorang sahaja berusaha mempertahankan sesuatu, akhirnya tetap runtuh juga,” luahnya.

Paling sakit kata anak kepada penyanyi rock Amy Search itu, dia sudah cuba meneruskan kehidupan seperti biasa, namun perasaan tersebut tetap hadir dan sukar diabaikan.

“Saya cuba kuat, cuba abaikan, cuba teruskan hidup. Tapi rasa itu tetap ada.

“Untuk menanggung semua itu memang berat. Sampai saya jadi tak mahu keluar, tak mahu terserempak dengan wajah-wajah yang pernah saya sayang sepenuh hati,” ujarnya.

Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2022 itu mengakui lokasi penggambaran dan rumah menjadi tempat paling selamat buat dirinya malah kesibukan mampu meredakan kegusaran hati.

“Set penggambaran dan rumah tempat bahagia saya. Bila sibukkan diri, suara bising dalam hati jadi senyap walaupun seketika.

“Tapi bila melihat sebahagian diri saya berada di pentas itu, semuanya bercampur, gembira, rindu, marah, sedih. Sangat menyakitkan,” jelasnya

Pun begitu, ibu satu anak itu tidak mendedahkan individu atau pihak yang dimaksudkan dalam luahan berkenaan.

Namun, segelintir netizen membuat andaian hantaran tersebut berkait dengan kemelut hubungan antara dirinya dan ibu tiri, Norish, yang sebelum ini pernah menjadi perhatian umum. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |